Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor lanjut penutupan sekolah hingga 16 Oktober
Guru dibenarkan kerja dari rumah, pentaksiran ditangguh, pemakluman rasmi akan dibuat secara harian
Johor lanjut penutupan sekolah hingga 16 Oktober
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengumumkan pelanjutan penutupan sekolah selama lima hari, dari 12 hingga 16 Oktober, susulan jerebu, manakala pemakluman rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan dikeluarkan secara harian mengikut prosedur Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata kaedah pemakluman itu tidak bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.
“Pemakluman secara harian ini merupakan sebahagian daripada tatacara pentadbiran yang perlu dipatuhi oleh JPNJ dan bukannya percanggahan dengan pengumuman Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan pada 11 Oktober.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan kedua-dua pihak adalah memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid terus terpelihara.
Dalam kenyataan berasingan pada tarikh sama, JPNJ mengesahkan semua sekolah di Johor ditutup pada 12 Oktober sebagai langkah berjaga-jaga susulan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Menurut jabatan itu, guru dan kakitangan sekolah turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan. Pegawai JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula bertugas seperti biasa.
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan.
“Bagi sekolah berasrama, kebenaran pulang adalah tertakluk kepada keputusan Pengetua berdasarkan penilaian risiko semasa dan pertimbangan aspek keselamatan serta kebajikan murid,” menurut kenyataan itu.
JPNJ turut memaklumkan bahawa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang dijadualkan pada 12 Oktober ditangguhkan, dengan tarikh baru akan diumumkan kemudian.
Guru dan pegawai yang terlibat tidak perlu hadir untuk pelaksanaan pentaksiran tersebut. Sekolah serta pusat PKSK diminta memaklumkan perubahan itu kepada ibu bapa, penjaga dan calon.
Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) serta pentaksiran lain yang terlibat juga akan dijadualkan semula mengikut ketetapan Lembaga Peperiksaan dan JPNJ.
Terdahulu, dalam kenyataan pada 10 Oktober, Dr Muhammad Naqib mengumumkan keputusan kerajaan negeri melanjutkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan hingga 16 Oktober setelah meneliti perkembangan pencemaran udara.
Menurutnya, keputusan itu mengambil kira beberapa faktor termasuk jangkaan pergerakan angin dari arah Kalimantan pada 13 hingga 15 Oktober yang berpotensi membawa pencemaran rentas sempadan.
Faktor lain ialah risiko pengumpulan partikel halus, pergerakan udara perlahan yang boleh menyebabkan jerebu berlarutan serta laporan kesihatan berkaitan kesan pencemaran udara.
Beliau berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan sekitar 170 hingga 180 ketika penilaian dibuat, masih menunjukkan keadaan tidak sihat tanpa perubahan ketara.
“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa langkah pencegahan awal perlu diberikan keutamaan bagi mengurangkan risiko pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar,” katanya.
Dr Muhammad Naqib turut menyeru ibu bapa supaya mengehadkan aktiviti luar anak-anak dan mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami batuk berpanjangan, sakit tekak atau kesukaran bernafas.