Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan Exco baharu Johor yakin mampu laksana 63 tekad manifesto
Pasukan Exco baharu Johor yakin mampu laksana 63 tekad manifesto
Pemuda Umno Johor yakin gabungan muka lama dan baharu upaya percepat agenda pembangunan negeri
Pasukan Exco baharu Johor yakin mampu laksana 63 tekad manifesto
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu diyakini mempunyai keupayaan untuk membentuk sebuah pasukan pentadbiran yang kukuh bagi merealisasikan manifesto Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh mandat besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata gabungan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, enam anggota Exco yang mengekalkan portfolio masing-masing serta empat muka baharu mampu memastikan kesinambungan pentadbiran negeri berjalan lancar.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas atas pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu.
“Saya yakin barisan ini adalah satu pasukan yang mampu mentadbir dan bekerja sebagai sebuah pasukan yang kuat untuk menyokong Menteri Besar.
“Saya pasti mereka tidak akan mengambil masa yang lama untuk memulakan serta merancakkan segala perancangan yang telah disusun sepanjang penggal pertama pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang di Johor Bahru.
Menurut Encik Noor Azleen, kemenangan besar BN dalam PRN Johor bukan sahaja memberi mandat yang kukuh kepada kerajaan negeri, malah menjadi suntikan semangat kepada seluruh pasukan pentadbiran untuk bekerja dengan lebih gigih demi kepentingan rakyat.
“Kita yakin mandat dan kepercayaan besar yang diberikan rakyat akan menjadi pemangkin kepada pasukan baharu ini untuk bekerja dengan lebih kuat.
“Hasil kerja keras itu akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk manfaat dan kebaikan kepada seluruh rakyat Johor,” katanya.
Beliau berkata pasukan Exco baharu itu akan melengkapkan kepimpinan Menteri Besar dalam meneruskan agenda pembangunan negeri sepanjang lima tahun akan datang.
Mengulas pelaksanaan manifesto BN, Encik Noor Azleen berkata beliau yakin semua janji yang dikemukakan kepada rakyat mampu dilaksanakan secara berperingkat kerana ia disusun berdasarkan perancangan kerajaan negeri yang sedia ada.
“Kita akan menterjemahkan satu demi satu janji melalui enam teras dan 63 tekad yang dibentangkan sebelum pilihan raya.
“Semua itu adalah perkara yang realistik dan memang telah terkandung dalam perancangan kerajaan negeri.
“Kita bukan berjanji bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan perkara yang mampu dilaksanakan oleh pasukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.
Sebelum ini, BN Johor melancarkan manifesto PRN Johor Ke-16 bertema, ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’, yang mengandungi 63 tekad berasaskan enam teras Maju Johor.
Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata manifesto berkenaan dirangka berdasarkan pengalaman mentadbir negeri selama lebih empat tahun serta mengambil kira keperluan sebenar rakyat Johor.
Antara komitmen utama yang ditawarkan termasuk memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk golongan muda, memperluaskan akses kepada rumah mampu milik menerusi dana RM100 juta ($31 juta) serta meneruskan pelbagai bantuan berkaitan pemilikan dan penyewaan rumah.
BN turut menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan bermutu untuk anak Johor, pengecualian bayaran lesen perniagaan pada tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil serta menambah dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta bagi merangsang pertumbuhan perusahaan kecil di negeri itu.

