Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merakamkan penghargaan kepada empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang tidak lagi menganggotai barisan pentadbiran negeri, sambil menegaskan sumbangan mereka akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada kejayaan kerajaan negeri sepanjang penggal lalu.

Beliau berkata jasa Datuk Zahari Sarip, Encik Raven Kumar Krishnasamy, Encik Aznan Tamin dan Cik Khairin-Nisa Ismail telah banyak membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.

“Syukur Alhamdulillah, sepanjang satu penggal yang lalu, kami telah bersama-sama memikul amanah, menempuh pelbagai cabaran dan bekerja sebagai satu pasukan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka atas segala jasa dan khidmat bakti sepanjang menggalas amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Julai.

Datuk Onn Hafiz berkata keempat-empat bekas Exco itu telah mencurahkan masa, tenaga dan buah fikiran dalam mengurus portfolio masing-masing serta membantu kerajaan negeri mendepani pelbagai cabaran sepanjang penggal pentadbiran lalu.

Beliau berkata setiap kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sepanjang tempoh tersebut turut dibina hasil komitmen dan kerja keras mereka.

“Terima kasih atas segala masa, tenaga, buah fikiran dan pengorbanan yang telah dicurahkan dalam mengurus portfolio masing-masing, mendepani pelbagai cabaran serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat terus dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Setiap pencapaian yang diraih oleh Kerajaan Johor sepanjang tempoh tersebut turut terbina daripada sumbangan, komitmen dan kerja keras mereka.

“Segala jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada negeri serta Bangsa Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.

Mengulas pembentukan barisan Exco bagi penggal baharu, Datuk Onn Hafiz berkata perubahan dalam pentadbiran adalah sebahagian daripada proses kesinambungan serta pembaharuan bagi memperkukuh keupayaan kerajaan negeri.

“Pembentukan barisan pentadbiran bagi penggal baharu merupakan sebahagian daripada proses kesinambungan dan penyegaran pentadbiran.

“Namun, perubahan kedudukan tidak sesekali memadamkan segala sumbangan yang telah dicurahkan,” katanya.

“Saya percaya pengalaman, kebijaksanaan dan semangat untuk berkhidmat akan terus menjadi kekuatan dalam usaha kita bersama-sama membawa Johor ke tahap yang lebih baik.

“Terima kasih kerana telah berdiri bersama saya dan memberikan yang terbaik sepanjang satu penggal yang penuh bermakna.

“Marilah kita terus berganding bahu berkhidmat untuk Bangsa Johor. Semoga Allah swt memberkati setiap usaha kita dalam memajukan negeri Johor yang kita cintai,” katanya.

Terdahulu, portfolio Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor telah disandang oleh Encik Raven Kumar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh ketika itu sebelum memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Datuk Zahari Sarip yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Buloh Kasap pada PRN kali ini pula memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor pada penggal lalu.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan negeri ketika itu pula dipegang oleh Encik Aznan yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat pada PRN kali ini.

Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri pada pentadbiran lalu dipegang oleh Cik Khairin-Nisa yang bagaimanapun tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Serom pada PRN Johor ke-16.