Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor perkukuh penyelarasan JS-SEZ, sasar lebih banyak pelaburan bermutu tinggi
Johor perkukuh penyelarasan JS-SEZ, sasar lebih banyak pelaburan bermutu tinggi
Kerajaan Johor komited percepat proses pelaburan, tingkat kerjasama strategik dengan pemain industri
Johor perkukuh penyelarasan JS-SEZ, sasar lebih banyak pelaburan bermutu tinggi
JOHOR BAHRU: Bagi mempercepat pelaksanaan projek strategik dan menarik lebih banyak pelaburan bermutu tinggi, Kerajaan Johor akan mempertingkat penyelarasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) melalui jalinan kerjasama yang lebih erat antara agensi kerajaan dengan pemain industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata mesyuarat bulanan JS-SEZ akan diteruskan bagi penggal baharu sebagai wadah menyelaras perkembangan setiap projek di bawah inisiatif berkenaan.
Beliau berkata mesyuarat yang menghimpunkan pelbagai agensi dan jabatan berkaitan itu telah diadakan hampir setiap bulan sepanjang penggal lalu bagi meneliti perkembangan semasa, menyelesaikan isu berbangkit serta mengumpulkan maklum balas sebelum dibentangkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Penyelarasan yang berterusan antara semua agensi menjadi kunci dalam memastikan setiap inisiatif JS-SEZ dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, cekap dan memberi impak kepada pembangunan ekonomi Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Julai.
Menurut beliau, kerajaan negeri itu kekal komited memastikan JS-SEZ terus menjadi destinasi pelaburan mesra pelabur menerusi penyelarasan lebih pantas, proses yang lebih cekap serta penyelesaian isu secara proaktif.
Pendekatan itu ujar beliau, bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pelabur, malah memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab pelaburan dan perdagangan serantau.
“Selaras dengan agenda Maju Johor 2030, JS-SEZ akan terus menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan bermutu tinggi, penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan ekosistem industri serta pertumbuhan ekonomi yang mampan demi manfaat Bangsa Johor,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Lee berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan Johor Tech Smart City, bagi membincangkan perkembangan projek, potensi pelaburan serta peluang kerjasama strategik.
Beliau berkata pertemuan itu turut meneliti usaha memperkukuh ekosistem pelaburan negeri menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan pelabur, sejajar dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tambah.
“Diharapkan perbincangan ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh serta mempercepat pelaksanaan projek yang mampu memberi impak positif kepada ekonomi negeri, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermutu untuk Bangsa Johor,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Syed Hussien Syed Abdullah, berkata beliau menghadiri sesi pramesyuarat bulanan JS-SEZ bagi Julai 2026 yang dipengerusikan oleh Encik Lee.
Menurut beliau, pertemuan itu menjadi wadah penting untuk membincangkan perkembangan semasa serta hala tuju JS-SEZ, selain memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak berkepentingan dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi negeri.
“Semoga segala perancangan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada kemajuan Johor dan kesejahteraan rakyat,” katanya.