Johor masih mempunyai banyak agenda penting yang perlu diselesaikan dalam tempoh lima tahun akan datang, khususnya bagi merealisasikan sasaran negeri itu mencapai status negeri maju menjelang 2030, kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Encik Lee Ting Han.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Cina Malaysia (MCA) Johor berkata sekiranya diberikan mandat sekali lagi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), keutamaan beliau adalah memastikan segala perancangan yang digariskan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dilaksanakan mengikut jadual.

Jelasnya, JETP yang dilancarkan pada 18 Jun menjadi hala tuju utama pembangunan negeri dan beliau sendiri antara individu yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

“Kita perlu memastikan kesemua 83 projek berimpak tinggi yang disenaraikan dalam JETP dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang. Itulah keutamaan kita bagi memastikan Johor benar-benar mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pejabat Perhubungan Umno Johor, di Johor Bahru, pada 24 Jun.

Mengulas perancangan bagi kawasan Paloh, Encik Lee berkata pelbagai projek infrastruktur asas telah berjaya dilaksanakan sepanjang empat tahun lalu, termasuk menaik taraf jalan raya, penyediaan lampu jalan berkuasa solar, bekalan air serta kemudahan telekomunikasi.

Katanya, bagi penggal akan datang, tumpuan akan diberikan kepada penyediaan lebih banyak perumahan mampu milik serta peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk.

“Kita melihat projek Rumah Mampu Milik Johor di Paloh hampir siap dan kita akan berusaha membangunkan fasa kedua serta fasa-fasa seterusnya bagi memenuhi permintaan penduduk,” katanya.

Dalam aspek pelaburan pula, beliau berkata sebuah projek industri tekstil yang bakal diwujudkan di kawasan itu dijangka menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kita mahu menarik lebih banyak pelaburan ke Paloh supaya lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan untuk rakyat,” katanya.

Encik Lee turut berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepat pelaksanaan Pelan induk dan pelan tindakan pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dirangka bersama kerajaan negeri menerusi Kementerian Ekonomi bagi memastikan segala projek strategik dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan.