Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor mahu percepat projek air, elektrik dan tebatan banjir sokong pertumbuhan JS-SEZ
Prasarana asas perlu berkembang seiring kemasukan pelaburan dan pembangunan pesat negeri
JOHOR BAHRU: Johor mahu pelaksanaan projek loji rawatan air (LRA), pembangunan sumber air, bekalan elektrik dan tebatan banjir dipercepat bagi memastikan prasarana asas negeri mampu menyokong pertumbuhan pesat ekonomi serta perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata jaminan bekalan air dan elektrik menjadi antara keperluan strategik utama yang dibincangkan kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata perkara itu diberikan perhatian kerana pertumbuhan industri dan pembangunan baru perlu disokong kapasiti prasarana yang mencukupi tanpa menjejaskan keperluan penduduk.
“Antara perkara utama yang diberikan perhatian ialah jaminan bekalan air dan elektrik bagi memastikan keperluan rakyat, industri serta pembangunan baru dapat dipenuhi, selari dengan pertumbuhan pesat Johor dan perkembangan JS-SEZ.
“Infrastruktur yang kukuh adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi. Kita mahu pembangunan Johor terus bergerak maju, namun pada masa sama, keperluan asas dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Ogos.
Encik Lee berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam kunjungan ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) di Putrajaya.
Menurutnya, pertemuan itu turut membincangkan usaha mempercepat projek LRA dan pembangunan sumber air supaya kapasiti bekalan Johor dapat memenuhi keperluan jangka panjang.
Isu tebatan banjir turut dibincangkan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesiapsiagaan negeri serta mengurangkan risiko kepada penduduk dan kawasan pembangunan.
“Penyelarasan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan keperluan prasarana Johor dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Encik Lee turut mengiringi Datuk Onn Hafiz dalam kunjungan ke Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) bagi membincangkan hala tuju pelaburan serta perindustrian Johor.
Pertemuan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, antara lain memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan JS-SEZ, Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan potensi pelaburan baru berimpak tinggi.
Encik Lee berkata kerajaan negeri mahu Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ini, namun pelaburan baru perlu memberikan penekanan kepada teknologi, penggunaan sumber yang cekap serta kelestarian.
“Kerajaan Johor akan terus memperkukuh kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap peluang pelaburan yang hadir dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti serta manfaat lebih besar kepada rakyat Johor,” katanya.
Menurut Encik Lee, penyelarasan antara agenda pelaburan dengan pembangunan prasarana menjadi semakin penting ketika Johor menerima lebih banyak projek berskala besar.
Katanya, bekalan air dan elektrik yang mencukupi, pengurusan risiko banjir serta kecekapan penggunaan sumber perlu bergerak seiring dengan usaha menarik pelaburan baharu.
Beliau berkata matlamat kerajaan negeri bukan sekadar meningkatkan jumlah pelaburan, malah memastikan pertumbuhan industri dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Kita mahu agenda ekonomi Johor terus bergerak ke arah negeri yang lebih berdaya saing, progresif dan mampu menghasilkan kesan pembangunan yang tinggi,” katanya.
