JOHOR BAHRU: Johor mahu projek strategik yang masih berada pada peringkat prapelaksanaan dipercepat menerusi penyelarasan lebih rapat antara agensi negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah itu penting bagi memastikan sebarang masalah diselesaikan segera dan projek yang dirancang dapat memberikan manfaat kepada rakyat secepat mungkin.

Keutamaan pembangunan Johor turut dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Saya menekankan kepentingan mempercepat projek yang masih berada di peringkat prapelaksanaan melalui penyelarasan lebih rapat antara agensi negeri dan Persekutuan.

“Setiap proses perlu dipermudah dan sebarang masalah diselesaikan segera supaya pelaksanaan projek dapat dipercepat dan manfaatnya dirasai oleh Bangsa Johor secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada 9 September.

Menurut Datuk Onn Hafiz, pertemuan tersebut membincangkan keutamaan Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta penyelarasan projek strategik antara kedua-dua peringkat pemerintah.

Antara bidang yang diberikan perhatian ialah jaringan jalan raya dan pengangkutan, perumahan, kesihatan, pendidikan dan keselamatan.

Pengurusan pesisir pantai dan sumber air turut dibincangkan kerana kedua-dua bidang itu mempunyai kaitan dengan kesejahteraan penduduk serta kemampuan negeri menghadapi cabaran pembangunan dan perubahan cuaca.

Datuk Onn Hafiz berkata semua keperluan berkenaan perlu dibangunkan secara seimbang dengan pertumbuhan ekonomi Johor.

“Pertemuan ini penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Johor disokong oleh pembangunan prasarana yang terancang dan memenuhi keperluan semasa rakyat.

“Semua aspek ini perlu bergerak seiring dengan perkembangan pesat negeri supaya kemajuan Johor benar-benar dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.

Perhatian turut diberikan kepada penyediaan prasarana yang diperlukan untuk menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut beliau, prasarana yang baik dan mencukupi dapat meningkatkan daya saing Johor dalam menarik pelaburan tempatan serta asing.

Kemudahan pengangkutan, perumahan dan perkhidmatan awam juga perlu berkembang seiring dengan kemasukan syarikat dan pertambahan peluang pekerjaan di kawasan JS-SEZ.

“Penyediaan prasarana amat penting untuk meningkatkan daya saing Johor, selain menarik lebih banyak pelaburan serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada Bangsa Johor,” katanya.

Datuk Onn Hafiz berharap Kementerian Ekonomi dapat membantu melancarkan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang terlibat dalam projek pembangunan negeri.

Beliau berkata hubungan erat antara pemerintah Johor dengan pemerintah Persekutuan perlu diteruskan supaya pelaksanaan agenda pembangunan tidak terjejas oleh proses pentadbiran yang mengambil masa terlalu panjang.

“Besar harapan saya agar Kementerian Ekonomi dapat membantu melancarkan penyelarasan dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan untuk Johor.

“Semoga kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan pemerintah Persekutuan terus memacu ekonomi serta membawa manfaat kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.