JOHOR BAHRU: Garis panduan baharu bagi penganjuran acara sukan akan diperkenalkan oleh Kerajaan Johor susulan kematian pemain bola sepak bawah 12 tahun, Allahyarham Danish Hizqeel Mohd Hanif, yang rebah ketika menyertai satu kejohanan di Johor Bahru pada 18 Julai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah berkata langkah itu diambil selepas maklumat awal mendapati kejohanan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada badan pengelola sukan berkaitan atau Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

Beliau berkata Dasar Penganjuran Kejohanan Sukan Johor yang dicadangkan itu akan mewajibkan penganjur mendapatkan kelulusan rasmi daripada persatuan sukan berkaitan, sebelum sebarang kejohanan boleh diadakan.

Dasar itu juga akan menetapkan keperluan minimum dari segi keselamatan dan perubatan bagi melindungi atlet serta semua peserta yang mengambil bahagian.

“Kerajaan negeri mahu memastikan kejadian seumpama tidak berulang, khususnya dalam kejohanan yang membabitkan kanak-kanak dan pertandingan mengikut kumpulan umur.

“Setiap penganjur perlu bertanggungjawab memastikan acara yang dianjurkan mendapat kelulusan sewajarnya dan memenuhi semua keperluan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Julai.

Bagaimanapun, Encik Mohd Hairi menegaskan siasatan pihak berkuasa berhubung kematian Allahyarham Danish masih berjalan dan semua pihak perlu menghormati proses tersebut serta tidak membuat sebarang kesimpulan awal.

Cadangan dasar itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 39 persatuan sukan negeri dalam satu sesi libat urus yang diadakan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar.

Beliau berkata mesyuarat tersebut turut bersetuju supaya kerajaan negeri memohon Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara memberikan kuasa kepada persatuan sukan negeri dan MSNJ untuk mengeluarkan kelulusan bagi penganjuran acara sukan di Johor.

“Kuasa di peringkat negeri ini penting kerana persatuan negeri dan MSNJ merupakan pihak yang paling dekat dengan keadaan sebenar di lapangan.

“Mereka paling memahami keperluan teknikal setiap jenis sukan serta lebih berupaya memantau penganjuran kejohanan dengan berkesan,” katanya.

Menurut Encik Mohd Hairi, dasar yang dicadangkan itu akan merangkumi syarat kelulusan wajib, piawaian minimum keselamatan dan perubatan, perlindungan insurans peserta, serta langkah perlindungan kanak-kanak.

Ia juga akan menetapkan penggunaan pengadil dan jurulatih bertauliah, tanggungjawab pemilik kemudahan sukan, pemantauan terhadap penganjur, serta tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

Kerajaan negeri turut bercadang mewujudkan sistem permohonan dalam talian secara sehenti, bagi memudahkan penganjur mendapatkan kelulusan dan memahami syarat yang perlu dipatuhi.

Antara keperluan minimum yang dicadangkan ialah penyediaan pegawai perubatan atau petugas kecemasan bertauliah, ambulans atau rancangan pengangkutan kecemasan dan peranti Defibrilator Luaran Automatik (AED).

Penganjur juga perlu menyediakan petugas yang terlatih dalam bantuan pernafasan kecemasan, perlindungan insurans serta persetujuan bertulis ibu bapa atau penjaga bagi peserta kanak-kanak.

“Dasar ini bukan bertujuan menyusahkan penganjur atau mematikan perkembangan sukan di peringkat akar umbi.

“Prinsipnya mudah, iaitu syarat berkenaan mestilah mudah untuk dipatuhi tetapi sukar untuk dielakkan.

“Proses permohonan perlu ringkas, kosnya minimum dan tempoh pemprosesan hendaklah ditetapkan dengan jelas,” katanya.