Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor nafi berpolitik isu kekurangan petugas kesihatan
Kerajaan negeri sudah salur RM65j tetapi pengisian jawatan masih di bawah bidang kuasa Persekutuan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan desakannya supaya kekosongan jawatan di hospital negeri itu segera diisi sebagai tindakan berpolitik, sebaliknya menegaskan usaha tersebut dibuat bagi menjaga kebajikan petugas kesihatan dan memastikan rakyat menerima rawatan lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata kerajaan negeri sudah memperuntukkan RM65 juta ($20 juta) bagi memperkukuh sistem kesihatan.
Ini termasuk menaik taraf kemudahan, membiayai khidmat doktor sambilan di hospital utama dan melaksanakan pemindahan sementara perkhidmatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.
“Johor bukan berpolitik. Johor sedang menunaikan tanggungjawab. Kerajaan negeri bukan sekadar bercakap, tetapi turut mengambil tindakan membantu sektor kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada 5 Ogos.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pandangan bekas Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah.
Encik Ling berkata kerajaan negeri turut menyediakan RM5.825 juta bagi bantuan pantri di hospital dan klinik kesihatan, RM2.8 juta sebagai bantuan khas Hari Raya kepada petugas kesihatan serta RM14.18 juta melalui Bantuan Kasih Johor untuk penjawat awam kesihatan.
Bagaimanapun, katanya, urusan pelantikan dan penempatan petugas kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, isu kekurangan kira-kira 2,800 petugas kesihatan telah dibawa kepada KKM sejak Mei 2023 dan turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Julai 2025.
Beliau berkata komitmen pernah diberikan untuk mengisi jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), Hospital Kulai dan Hospital Pasir Gudang.
Namun, Hospital Pasir Gudang masih mempunyai 1,192 kekosongan daripada 2,271 jawatan, manakala HSA merekodkan 613 kekosongan dan HSI sebanyak 285.
“Dalam setiap pertemuan, komitmen diberikan bahawa tindakan akan diambil. Persoalannya, sampai bila komitmen itu akan kekal sebagai komitmen?” katanya.
Encik Ling berkata kekurangan kakitangan menyebabkan petugas sedia ada bekerja lebih masa dan berdepan risiko keletihan melampau.
Terdahulu, Dr Rafidah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang berulang kali menyeru KKM menyelesaikan isu berkenaan.
Beliau mencadangkan supaya petugas kesihatan diberikan jawatan tetap, skim pencen dikembalikan serta gaji dan elaun ditambah baik.
Dr Rafidah turut berkata masalah itu merupakan kegagalan keseluruhan kerajaan dan bukan hanya KKM.
Menjawab kritikan tersebut, Encik Ling berkata kerajaan negeri tidak menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kecewa kerana masalah berkenaan berlarutan terlalu lama.
“Ini bukan sandiwara. Ini amanah dan tanggungjawab. Selagi tidak selesai, kami akan terus menuntut demi rakyat Johor,” katanya.
