Topik diikuti
Pergi ke BHkuNaik taraf sistem elektrik Hospital Sultanah Aminah JB libat kos RM159j
Naik taraf sistem elektrik Hospital Sultanah Aminah JB libat kos RM159j
Onn Hafiz mohon kementerian beri keutamaan isu kurang kakitangan, bimbang beban kerja kian meningkat
Naik taraf sistem elektrik Hospital Sultanah Aminah JB libat kos RM159j
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor merayu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memberi keutamaan kepada isu kekurangan petugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berikutan peningkatan beban kerja di hospital rujukan utama negeri itu yang menerima ribuan pesakit setiap hari.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu antara kebimbangan utama yang dibangkitkan selepas beliau mengadakan lawatan ke HSA bagi meninjau keadaan semasa hospital itu serta mendengar taklimat mengenai pelbagai projek penambahbaikan yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata selain menaik taraf kemudahan fizikal, isu tenaga kerja perlu diberi perhatian segera bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus terpelihara.
“Namun, ada satu perkara yang benar-benar merisaukan saya, iaitu kekurangan petugas kesihatan di HSA.
“Saya bimbang beban yang mereka pikul hari ini sudah terlalu berat, sedangkan HSA merupakan antara hospital rujukan utama yang menerima ribuan pesakit dari seluruh Johor setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Julai.
Sehubungan itu, beliau memohon pertimbangan KKM supaya isu kekurangan petugas di HSA diberi keutamaan.
Pada masa sama, Datuk Onn Hafiz berkata HSA sedang melaksanakan proses pemindahan sementara Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) ke Pusat Bersalin dan Labour and Delivery (L&D) bermula awal Ogos ini bagi membolehkan kerja menaik taraf sistem elektrik dijalankan dengan selamat.
Beliau berkata projek menaik taraf bekalan utama elektrik serta sistem elektrikal dan mekanikal hospital itu melibatkan kos hampir RM159 juta ($50 juta).
“Beberapa penambahbaikan lain turut giat dilaksanakan demi memastikan HSA terus memberikan perkhidmatan yang lebih selamat dan bermutu kepada Bangsa Johor,” katanya.
Datuk Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan yang terus menjalankan tanggungjawab walaupun berdepan beban tugas yang tinggi.
“Buat seluruh petugas barisan hadapan kesihatan, terima kasih tidak terhingga kerana terus bertahan demi rakyat. Walau penat, walau letih, mereka tetap memilih untuk hadir dan terus berkhidmat.
“Saya sedar dan insaf tugas ini sememangnya bukan mudah. Percayalah, kami tidak akan berhenti memperjuangkan segala yang diperlukan agar saudara dan saudari tidak terus memikul beban ini bersendirian,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan KKM bagi mencari penyelesaian terbaik demi memastikan perkhidmatan kesihatan di Johor terus diperkukuh serta mampu memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.