JOHOR BAHRU: Syarikat Singapura dipelawa menjadikan Johor sebahagian daripada strategi perniagaan serantau dengan menggabungkan fungsi ibu pejabat, penyelidikan dan kewangan di republik ini dengan kegiatan pembuatan, pergudangan serta prasarana digital di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membolehkan kedua-dua ekonomi memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, Singapura menawarkan rangkaian kewangan global, inovasi dan perkhidmatan profesional, manakala Johor mempunyai tanah, kapasiti pembuatan, tenaga mahir, pelabuhan serta ruang pengembangan berskala besar.

“Pertimbangkan fungsi yang paling mendapat manfaat daripada berada di Singapura, dan kegiatan yang boleh berkembang dengan berkesan di Johor,” katanya dalam kenyataan pada 25 Oktober sempena Invest Malaysia Day 2026 yang diadakan di Grand Hyatt, Singapura.

Acara itu dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan CIMB.

Encik Lee berkata perusahaan kecil dan sederhana (SME) boleh bermula melalui kerjasama, hubungan pembekalan atau operasi kecil di Malaysia sebelum membuat komitmen lebih besar.

“Tiada satu model yang sesuai untuk setiap syarikat. Nilai pelanggan, kecekapan rantaian bekalan, bakat, prasarana, keperluan kawal selia dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Beliau memberi contoh pembangunan kampus pusat data oleh Nxera milik Singtel bersama Telekom Malaysia di Iskandar Puteri, yang dirancang bermula dengan kapasiti 64 megawatt dan berpotensi berkembang kepada 200 megawatt, bergantung pada permintaan.

Dalam teknologi perubatan, ResMed pula menggabungkan kegiatan penyelidikan, pengurusan dan pembuatan di Singapura dengan kemudahan pembuatan di Johor.

Menurutnya, kedudukan berdekatan membolehkan syarikat mengembangkan pengeluaran tanpa menggandakan setiap fungsi penyelidikan, pengurusan dan kejuruteraan.

Peluang serupa turut wujud dalam peralatan semikonduktor, automasi, kejuruteraan ketepatan, logistik serta bahan api penerbangan mampan.

Encik Lee berkata Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ dijangka dilancarkan bersama pemimpin Malaysia dan Singapura menjelang akhir 2026.

Dokumen itu dijangka memperjelas keutamaan pelaburan, pembangunan industri, prasarana, pengangkutan, bakat dan pelaksanaan.

Sasaran bersama JS-SEZ ialah menarik 50 projek dalam lima tahun, 100 projek dalam 10 tahun serta mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran sepanjang tempoh sedekad.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan zon itu bergantung pada kelancaran syarikat menubuhkan dan mengendalikan operasi.

“Insentif menarik perhatian, tetapi kepastian memberikan keyakinan kepada syarikat untuk meneruskan pelaburan. Pelabur memerlukan kejelasan mengenai tanah, utiliti, kelulusan dan garis masa,” katanya.

Melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), urusan pelabur diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, penyedia utiliti dan agensi kawal selia.

Bagi projek yang sesuai, pendekatan laluan pantas menyasarkan pengurangan tempoh pelaksanaan daripada sekitar 24 bulan kepada 13 hingga 14 bulan, sambil mengekalkan keperluan alam sekitar dan kawal selia.

Beliau turut menekankan kepentingan pelepasan sempadan, penyelarasan kastam dan pengangkutan yang cekap bagi mengurangkan kos serta ketidakpastian perjalanan.

Manfaat RTS Link apabila beroperasi kelak juga perlu dilengkapi sambungan perjalanan ke kawasan perindustrian, pusat komersial, perumahan dan tempat kerja.