JOHOR BAHRU: Program Semarak Maghrib dan Isyak akan dilaksanakan di seluruh Johor sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mengimarahkan masjid serta menyuburkan budaya solat berjemaah dalam kalangan umat Islam.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata program itu merupakan antara janji Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 yang kini diterjemahkan melalui pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Program pertama seumpamanya berlangsung di Masjid Jamek As-Syakirin, Bukit Saujana, pada malam 4 Ogos.

“Malam ini merupakan hari pertama kerajaan negeri menunaikan janji untuk mengadakan bukan sahaja Semarak Isyak, malah kita menambah Semarak Maghrib.

“Saya berharap usaha mengimarahkan masjid ini bukan hanya dilaksanakan di Masjid Jamek As-Syakirin, tetapi diperluas ke seluruh pelusuk Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 6 Ogos.

Beliau, yang menghadiri Program Semarak Maghrib dan Isyak Johor 2026 Bilangan Satu, berkata inisiatif itu merupakan kesinambungan kepada usaha kerajaan negeri menyemarakkan solat subuh berjemaah sebelum ini.

Katanya, pelaksanaan solat maghrib dan isyak berjemaah diharap dapat memastikan masjid terus hidup dengan kegiatan ibadah, majlis ilmu dan pengisian rohani.

“Program ini merupakan lambang kesungguhan kerajaan negeri untuk terus mengimarahkan masjid dan menyemarakkan budaya solat berjemaah dalam kalangan umat Islam.

“Amanah yang diberikan oleh rakyat Johor akan terus diterjemahkan melalui pelaksanaan setiap komitmen yang telah dijanjikan,” katanya.

Program berkenaan turut diisi dengan Perkongsian Hadis 40 bertajuk Niat Penentu Perbuatan Hamba oleh Kadi Daerah Johor Bahru, Encik Mohd Zaini Mohd Salleh, selain bacaan Surah Al-Mulk.

Datuk Onn Hafiz mengajak umat Islam di Johor menyertai program tersebut dan menjadikan masjid sebagai pusat pembentukan ilmu, sahsiah serta perpaduan masyarakat.

“Inisiatif ini adalah usaha kerajaan negeri untuk terus meningkatkan syiar Islam dalam membina Johor yang maju berlandaskan Al-Quran dan Sunah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM1.5 juta ($468,708) bagi melaksanakan lapan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Mersing.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi membuka semula Unit Hemodialisis Hospital Mersing yang sebelum ini ditutup.

Pembukaan semula unit itu dijangka membolehkan pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan lebih dekat, sekali gus mengurangkan beban perjalanan mereka dan anggota keluarga.

Kerajaan negeri turut meluluskan masing-masing RM200,000 bagi membaik pulih gelanggang futsal di Taman Sri Mersing dan Felda Nitar 1, manakala RM100,000 disediakan untuk menaik taraf Bangunan Kami Anak Felda di Felda Tenggaroh Timur 1.

Sebanyak RM80,000 diperuntukkan untuk membaik pulih gelanggang sepak takraw Felda Tenggaroh 6, manakala Kampung Peta dan Kampung Tanjung Tuan masing-masing menerima RM100,000 bagi pemasangan lampu suria.

Sebanyak RM200,000 lagi diluluskan untuk menggantikan permaidani Masjid Kampung Sri Lalang.

Datuk Onn Hafiz berkata inisiatif itu sebahagian daripada Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor bagi Mersing yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, kegiatan perniagaan, pelaburan dan pelancongan.