Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor wajibkan lelaki Islam tinggalkan, tutup niaga untuk solat Jumaat

Nov 26, 2024 | 5:08 PM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor. - Foto FACEBOOK MOHD FARED MOHD KHALID

ISKANDAR PUTERI (Johor): Pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki yang beragama Islam di Johor diwajibkan untuk meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika tempoh solat Jumaat.

Peringatan itu dikeluarkan selaras pelaksanaan perubahan cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula Januari 2025, berbanding Jumaat dan Sabtu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata peraturan itu tertakluk kepada pelanggan dan peniaga lelaki yang wajib menunaikan solat Jumaat.

Bagaimanapun katanya, kelonggaran diberikan kepada pelanggan dan perniagaan yang diuruskan pemilik atau pekerja wanita Islam, untuk meneruskan operasi perniagaan di premis masing-masing.

“Mereka yang kena tinggalkan jual beli ini adalah orang lelaki, orang Islam, maka orang ini janganlah berniaga dan jangan bekerja ketika solat Jumaat.

“Kenapa lelaki Islam pergi makan ketika solat Jumaat, kenapa berniaga ketika orang sembahyang Jumaat?

“Kita akan laksanakan penguatkuasaan bagi memastikan semua lelaki yang wajib solat Jumaat menunaikan kewajipan mereka,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam pada itu, Encik Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah berkata pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Januari 2025, diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.

Menurutnya, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat, boleh dikenakan tindakan.

“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disulitkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Adun Maharani, Encik Abdul Aziz Talib (Perikatan Nasional), mengenai kesediaan kerajaan Johor memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Januari 2025.

Pada 7 Oktober, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan penyelarasan semula cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 di Johor, yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Tunku Mahkota Ismail turut mengarahkan agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.

Pada 21 November, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Januari 2025, berbanding hanya sejam 30 minit ketika ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg