Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor pertimbang sektor awam kerja 4 hari setengah seminggu

Ini susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025
Nov 21, 2024 | 3:33 PM
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada 21 November.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar pada 21 November. - Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada hanya empat hari setengah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ini susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkat produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.

Beliau berkata ini termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara dalam talian.

“Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat antara 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang.

“Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan.

“Sekiranya usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah kerajaan negeri akan mempertimbang cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.

“Namun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024, di Bangunan Sultan Ismail pada 21 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis adalah bermula 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi Jumaat, waktu bekerja bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.

Datuk Onn berkata sejajar dengan perubahan syif hujung minggu Johor pada 2024 kepada Sabtu dan Ahad, kedua-dua sektor awam dan swasta dikehendaki memberi pekerja mereka berehat selama dua jam pada Jumaat.

Aturan itu, jelasnya, bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Kerajaan negeri memutuskan pihak swasta melanjutkan masa rehat 1 jam 30 minit pada hari Jumaat kepada dua jam,” katanya, lapor The Star.

Datuk Onn Hafiz melahirkan keyakinan bahawa menukar hujung minggu dari Jumaat kepada Sabtu akan memberi impak positif kepada ekonomi negeri tanpa mengorbankan kesucian agama.

Beliau berkata ini juga akan memberi lebih banyak masa kepada keluarga untuk merancang aktiviti hujung minggu mereka bersama-sama.

Pada Oktober lalu, Tunku Ismail telah mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, hari cuti hujung minggu negeri Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg