JOHOR BAHRU: Sekitar 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula 5 peratus, mulai 2025.
Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Encik Hussien Ibrahim, berkata ia berikutan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah selain pelaksanaan gaji minimum RM1,700 ($512) mulai Februari 2025.
“Kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat tinggi dan dijangka pelaksanaan gaji minimum mulai 2025, akan melonjakkan lagi kos operasi.
“Selain itu, kami juga perlu mula mencarum pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan ini juga akan menambah kos operasi kami.
“Peningkatan kos operasi sebenarnya susulan kenaikan harga bahan mentah berterusan susulan pemansuhan subsidi diesel yang terpaksa kami serap.
“Bagaimanapun, kami masih tunggu dan lihat sebelum pelaksanaan kenaikan harga makanan bermula 5 peratus mulai 2025.
“Ia bergantung kepada keputusan muktamad persatuan induk kami, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma),” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Prim), Datuk J Govindasamy, dilaporkan berkata kadar gaji minimum baru yang diumumkan kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga makanan antara 20 dengan 30 peratus.
Beliau dilaporkan berkata peningkatan dalam kos operasi turut berlaku ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500, pada Mei 2022.
Pada 18 Oktober, kerajaan dilaporkan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Encik Hussien berkata ketika ini kebanyakan premis restoran India Muslim atau mamak menggajikan lebih 60 peratus pekerja asing.
Namun, katanya, berikutan kenaikan kos operasi, kebergantungan terhadap pekerja asing di premis mungkin perlu dikurangkan berikutan menggajikan golongan itu menjadikan kos operasi lebih mahal.
“Bagi setiap pekerja asing kami perlu membayar levi tahunan sebanyak RM2,300 seorang selain kos asrama dan makanan sehingga RM500 seorang sebulan selain gaji bersih mereka.
“Ini belum termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan caruman KWSP terhadap mereka nanti.
“Selepas ini, kami perlu cari lebih ramai pekerja tempatan bagi mengurangkan kos operasi. Kami sanggup menawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan kepada pekerja tempatan, namun tidak ramai berminat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg