Dianggarkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura, dengan antara 300,000 hingga 400,000 orang berulang-alik setiap hari menyeberang tambak.
Berbanding negara jiran lain seperti Thailand, Brunei dan Indonesia, Singapura menjadi antara pilihan utama warga Malaysia untuk bekerja.
Gaji lumayan, terutama mengambil kira perbezaan nilai mata wang, tekanan kos hidup semakin mencabar, pengukuhan ekonomi Singapura, selain peluang pekerjaan dan persekitaran kerja yang kondusif menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Singapura.
Penghijrahan bakat dan tenaga kerja mahir Malaysia secara besar-besaran ke Singapura menyebabkan timbul banyak kebimbangan.
Paling kritikal ialah isu brain drain atau hijrah cendekiawan yang merisikokan Malaysia kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional, yang dalam jangka panjang akan menjejas sosioekonomi negara itu.
Langkah Singapura menaikkan kadar gaji minimum pekerja asing sejak September 2022 juga merancakkan kecenderungan warga Malaysia mengejar gaji lumayan hingga tiga kali ganda lebih tinggi.
Menerusi penyelarasan gaji baru itu, kadar gaji minimum yang dinaikkan adalah dari $2,500 (RM7,679) sehingga $5,600 (RM19,700) sebulan – mengikut jenis pas dan sektor pekerjaan, lapor media Singapura.
Isu jurang perbezaan gaji Malaysia dan Singapura yang menjadi cabaran utama dalam membendung bakat Malaysia berhijrah ke luar negara terutama ke Singapura sudah sekian lama dalam radar pemantauan kerajaan Malaysia.
Justeru, pengumuman kerajaan Malaysia baru-baru ini mengenai tawaran gaji premium bermula RM4,000 ($908) hingga RM5,000 untuk pekerja berkemahiran tinggi, dengan Johor sebagai negeri pertama akan melaksanakannya, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ), menyuntik kelegaan buat pekerja, majikan dan sektor pekerjaan di Malaysia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hasrat itu akan dicapai dengan penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada 3 November lalu.
Mengulas mengenai perkembangan itu, banyak pihak menyifatkan pelaksanaan gaji premium yang memang dinantikan sekian lama itu, akan dapat mengurangkan masalah penghijrahan bakat Malaysia ke Singapura.
Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob, berpandangan selain mengekalkan bakat berkemahiran tinggi Malaysia, gaji premium juga dapat meningkatkan kualiti hidup golongan pekerja sejajar dengan penguasaan kemahiran mereka.
“Mungkin kita akan berhadapan dengan isu peningkatan kos sara hidup terutama di Johor, tetapi lebih penting sekurang-kurangnya ia dapat menyamaratakan jurang perbezaan gaji pekerja di Malaysia dan Singapura, sekali gus menyekat pengaliran keluar profesional dan tenaga mahir Malaysia,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Encik Mohammad Rizan Hassan, pula berkata gaji premium bukan saja berfungsi sebagai insentif kewangan untuk pekerja berkemahiran tinggi, tetapi juga menunjukkan komitmen untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada sumbangan berharga mereka.
“Ia sekali gus memupuk rasa kesetiaan dan dedikasi di kalangan tenaga kerja mereka. Lebih-lebih lagi, gaji premium boleh membantu menyamakan kedudukan dengan mengecilkan jurang gaji antara pasaran pekerjaan tempatan dan asing.
“Gaji premium juga boleh menyumbang kepada ekosistem bakat yang lebih mampan dalam negara asal mereka. Bagaimanapun, adalah penting untuk menyedari bahawa gaji premium saja mungkin tidak mencukupi untuk menangani faktor kompleks yang mendorong pekerja mahir untuk berhijrah ke negara seperti Singapura.
“Walaupun pampasan kompetitif adalah komponen penting dalam pengekalan bakat, faktor lain seperti peluang kemajuan kerjaya, keseimbangan kerja-kehidupan dan kualiti hidup juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan individu untuk kekal atau berhijrah,” ujarnya ketika ditanya BM.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pelaksanaan gaji premium itu akan memberi kelebihan kepada majikan terutama di kawasan JS-SEZ untuk menarik bakat pekerja mahir Malaysia, seterusnya mengekalkan bakat yang diperlukan untuk jangka panjang.
Namun beliau berpandangan, gaji premium hendaklah dihubungkait dengan prestasi dan peningkatan produktiviti pekerja dan ia penting untuk memastikan peningkatan kos daripada pembayaran gaji lebih tinggi dapat diimbangi dengan pendapatan yang diperolehi daripada peningkatan produktiviti.
“Majikan hendaklah segera menerapkan teknologi baru yang dapat memodenkan proses dan operasi serta meningkatkan daya saing mereka. Jika majikan tidak melakukannya, ada kemungkinan pekerja berkemahiran tinggi terutama daripada kalangan generasi baru tidak akan bertahan lama di syarikat,” katanya kepada BM.
Beliau juga tidak menolak pelaksanaan gaji premium akan membebankan majikan jika prestasi pekerja berkemahiran tinggi tidak mampu memenuhi ciri-ciri diperlukan untuk melayakkan mereka dibayar dengan gaji premium tersebut.
Kata Datuk Shamsuddin, Malaysia kini menjadi tarikan bagi profesional asing berkemahiran tinggi, dengan jumlah ekspatriat yang masuk ke negara itu melepasi paras sebelum pandemik Covid-19.
“Menurut data Jabatan Imigresen, sebanyak 154,155 pas ekspatriat dikeluarkan pada 2023, jumlah tertinggi sejak 2018. Sehingga Mac 2024, Jabatan Imigresen meluluskan 38,197 pas, dibandingkan dengan 32,947 pas yang dikeluarkan pada tempoh sama 2023.
“Majikan terpaksa mengambil profesional asing kerana ketidaksepadanan kemahiran dan daya saing pekerja Malaysia dengan keperluan pekerjaan tertentu. Terdapat keperluan untuk kepakaran tertentu dalam sektor seperti aeroangkasa, perkilangan, pemprosesan makanan dan pembinaan.
“Sektor-sektor ini memerlukan kepakaran dalam teknologi baru seperti pembelajaran mesin, automasi, dan analisis data,” ujarnya.
Setiausaha Persatuan Penggerak Latihan Kemahiran yang keahliannya terdiri daripada pakar industri, tenaga pengajar dan alumni kemahiran, Encik Ahmad Zulafiq Ghazali, pula berpendapat bahawa inisiatif gaji premium itu boleh mendorong lebih ramai pelajar untuk melibatkan diri dalam pendidikan dan latihan kemahiran tinggi.
“Dulu sektor kemahiran ini sering dipandang rendah kerana persepsi masyarakat menganggap pengajian kemahiran hanya buat mereka yang kurang cemerlang dalam akademik. Namun, seiring usaha kerajaan memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bidang ini kian mendapat tempat di hati ramai.
“Mengikut statistik, di Malaysia ada lebih 1.3 juta pelajar berkemahiran tinggi dan jumlah ini termasuk pelajar dalam bidang berkemahiran tinggi seperti Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Kesihatan, dan Pendidikan Vokasional.
“Pekerja berkemahiran tinggi memainkan peranan utama dalam memperkenalkan inovasi dan meningkatkan produktiviti dalam industri tertentu. Pemberian gaji premium boleh merangsang produktiviti dan pertumbuhan sektor berteknologi tinggi dan berinovasi,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg