JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan RM4.19 juta ($1.32 juta) bagi mentransformasikan lima Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bangsa Johor.

Ia sebagai usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak dan melahirkan generasi Bangsa Johor yang bermutu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Encik Md Israk Abdullah, berkata inisiatif itu merupakan antara usaha strategik kerajaan negeri dalam membina asas pendidikan yang kukuh sebelum murid melanjutkan pengajian ke Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meninjau kemajuan kerja transformasi Tabika Kemas Bangsa Johor Suria Muafakat.

“Transformasi ini merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, bagi membangunkan model pendidikan bertaraf dunia.

“Tabika ini akan menjadi laluan awal kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor, sekali gus membentuk asas pendidikan berkualiti untuk anak-anak Johor sejak usia prasekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Julai.

Menurut beliau, projek berkenaan melibatkan lima Tabika, tujuh kelas di empat lokasi dengan penyertaan seramai 173 kanak-kanak.

Katanya, peruntukan RM4.19 juta itu merangkumi kerja menaik taraf infrastruktur, latihan guru menerusi program English Communication for Early Childhood Educators (Echo), pembangunan Modul Kesultanan Islam Johor serta penyediaan peralatan media interaktif.

Bagi Tabika Kemas Suria Muafakat, beliau berkata sebanyak RM657,921 diperuntukkan untuk kerja transformasi infrastruktur yang kini telah mencapai kemajuan 75 peratus.

“Perkembangan ini memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih moden, selamat dan kondusif kepada anak-anak Johor,” katanya.

Beliau berkata Tabika Kemas Suria Muafakat merupakan lokasi kedua yang menjalani proses transformasi selepas Tabika Kemas Larkin Court di Jalan Kasawari berjaya disiapkan pada Jun lalu.

Menurut beliau, usaha itu bukan sekadar menaik taraf bangunan, malah merupakan pelaburan jangka panjang bagi membangunkan modal insan bermutu untuk masa depan Johor.

Dalam perkembangan lain, Encik Israk berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan mantan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, bagi membincangkan kesinambungan agenda pembangunan sektor pertanian dan luar bandar.

Beliau berkata pertemuan itu memberi peluang untuk mendapatkan pandangan serta pengalaman Datuk Zahari dalam memastikan segala inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini dapat diteruskan dan diperkasakan.

“Pandangan, pengalaman dan perkongsian beliau amat bermakna sebagai rujukan kepada saya dalam memastikan segala inisiatif yang telah dilaksanakan dapat diteruskan, diperkasakan dan ditambah baik demi memberi manfaat yang lebih besar kepada Bangsa Johor,” katanya.

Encik Israk berkata beliau komited meneruskan usaha memperkukuh sektor pertanian serta pembangunan luar bandar melalui kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda Maju Johor dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar di negeri itu.