Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor, Sabah perkukuh kerjasama pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027
Johor, Sabah perkukuh kerjasama pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027
Program kembar, promosi bersama dan pemuliharaan warisan antara inisiatif dibincangkan
Johor, Sabah perkukuh kerjasama pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027
Johor dan Sabah bakal memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan menerusi pelbagai inisiatif termasuk program negeri berkembar, promosi bersama serta pertukaran kepakaran dalam usaha merancakkan industri pelancongan kedua-dua negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat beliau ke Tourism Johor pada 9 Julai.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju terdapat banyak ruang kerjasama yang boleh dimanfaatkan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Kita mendapat taklimat daripada Tourism Johor dan nampak memang ada beberapa perkara yang memerlukan kerjasama.
“Mereka juga bersetuju bahawa kita boleh mewujudkan program negeri berkembar, iaitu membawa pelancong dari Sabah ke Johor dan dari Johor ke Sabah.
“Saya percaya usaha ini akan memberi manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut beliau, Tourism Johor menunjukkan prestasi yang memberangsangkan hasil sokongan padu kerajaan negeri, terutama dalam aspek pembangunan kemudahan dan infrastruktur di lokasi pelancongan.
“Tourism Johor mempunyai sokongan yang cukup kuat daripada kerajaan negeri.
“Kebetulan portfolio pelancongan juga dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, sekali gus membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan di destinasi pelancongan di seluruh negeri.
“Di Sabah, kita juga mengharapkan sokongan yang lebih kukuh daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf kemudahan pelancongan sedia ada walaupun bantuan telah diberikan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara Johor dan Sabah wajar diperkasakan kerana kedua-dua negeri mempunyai produk pelancongan yang unik dan mampu saling melengkapi.
Katanya, Tourism Johor turut menyatakan kesediaan membantu mempromosikan Sabah sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
“Saya dimaklumkan Tourism Johor juga bercadang meneruskan sambutan Tahun Melawat Johor sehingga 2027. Ini membuka peluang untuk kita bekerjasama dalam usaha promosi pelancongan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Datuk Jafry berkata lawatan rasmi delegasi Sabah ke Muzium Diraja Abu Bakar di Istana Besar Johor turut membuka ruang kerjasama lebih erat dalam bidang pemuliharaan warisan, pembangunan muzium dan pelancongan berasaskan budaya.
Beliau berkata delegasi Sabah diberi taklimat mengenai sejarah institusi diraja Johor, koleksi artifak, amalan pemuliharaan serta pengurusan muzium oleh Kurator Muzium Diraja Abu Bakar, Encik Mohd Azlan Hafiz Mohd Mohti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa, atas layanan dan sokongan sepanjang lawatan tersebut.
Menurutnya, pengalaman itu memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam memelihara khazanah sejarah sambil meningkatkan pengalaman pelawat melalui pengurusan muzium yang berkualiti.
“Warisan bukan sekadar memelihara sejarah silam, malah merupakan aset strategik pelancongan yang mencerminkan identiti, memperkukuh perpaduan, mendidik generasi akan datang serta menjana peluang ekonomi menerusi pelancongan budaya.
“Saya percaya Sabah dan Johor mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama melalui pertukaran ilmu, pembangunan profesional, pemuliharaan warisan, jaringan muzium serta program pelancongan budaya bersama,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya komited menjadikan budaya dan warisan sebagai antara tonggak utama pembangunan pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus memastikan kekayaan sejarah dan tradisi negeri itu terus dipelihara serta diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
