Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor sasar 12j pelancong bermalam, rancang jejak warisan Islam di 10 daerah
Tourism Johor lihat peluang libat S’pura dalam usaha sama dengan Indonesia
Johor sasar 12j pelancong bermalam, rancang jejak warisan Islam di 10 daerah
Johor merancang untuk membangunkan jejak warisan di kesemua 10 daerahnya bagi menggalakkan pelawat, termasuk dari Singapura dan Indonesia agar tinggal lebih lama.
Tourism Johor dan Persatuan Pelancongan Islam Johor (Jita) mahu menggabungkan lawatan ke masjid bersejarah, kisah Kesultanan Johor-Riau dan hidangan halal tempatan dalam pakej bermalam.
Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata negeri itu menyasarkan kedatangan 25 juta pelawat sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Sasaran bagi pelancong yang bermalam pula ialah 12 juta orang.
“Kita nak mereka menginap sekurang-kurangnya satu malam di Johor,” katanya ketika merasmikan majlis, Jita Townhall Tea Talk 2026, di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada 17 November.
Menurut Encik Mohammad Nazrul, cabarannya adalah untuk menggalakkan pelawat berbelanja lebih banyak dan memanjangkan kunjungan mereka di seluruh negeri.
Beliau mengundang pelawat Singapura dan Indonesia meneroka tarikan baharu di Johor, termasuk pelancongan alam semula jadi di Kampung Sungai Melayu.
“Selain membangunkan jejak warisan, Tourism Johor dan Jita turut menimbangkan kemungkinan mewujudkan pusat seni di Iskandar Puteri.
“Kedua-duanya mahu memperkukuh penarafan premis mesra Muslim dan melatih lebih ramai pemandu pelancong supaya mereka dapat menerangkan sejarah serta tamadun Johor dengan tepat,” katanya.
Encik Mohammad Nazrul turut menggalakkan pengusaha restoran supaya mendapatkan sijil halal bagi menarik pengunjung Muslim.
Beliau menghargai usaha Majlis Agama Islam Negeri Johor dalam meningkatkan kesedaran pengusaha tempat makan tentang pensijilan itu.
Di samping itu, beliau turut menyuarakan kemungkinan kerjasama Jiran Istimewa (Jiwa) antara Johor dengan Indonesia diperluas untuk melibatkan Singapura.
Menurutnya, pengusaha Johor boleh berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan rakan di Kepulauan Riau, termasuk Batam.
Menurut beliau, Johor mempunyai lebih 20 persatuan pelancongan.
Beliau menyifatkan Jita sebagai persatuan pelancongan Islam pertama di Malaysia.
Yang Dipertua Jita, Encik Mohd Fairuz Iskandar Abdul Aziz, berkata persatuan itu mahu menghubungkan pengusaha pelancongan, penyedia penginapan dan badan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan mesra Muslim.
“Kedudukan strategik Johor yang berdekatan dengan Singapura serta hubungan erat dengan Indonesia merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan melalui jaringan kerjasama, pembangunan produk dan promosi yang lebih tersusun,” katanya.