Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor sasar lebih ramai pelancong S’pura sempena cuti sekolah
Pengusaha hotel jangka tempahan meningkat; kerajaan Johor rancang bas pelancongan yang dihubung stesen RTS pada 2027
Johor sasar lebih ramai pelancong S’pura sempena cuti sekolah
Johor mempergiat usaha menarik lebih ramai pelancong Singapura sempena cuti sekolah akhir tahun 2026 kini.
Pelbagai tawaran penginapan, kegiatan keluarga dan tarikan baharu diperkenalkan bagi menggalakkan pengunjung melanjutkan tempoh percutian mereka di negeri itu.
Selain destinasi popular seperti Johor Bahru, Desaru dan Iskandar Puteri, pengusaha pelancongan turut menggalakkan warga Singapura agar meneroka bandar kecil, kawasan alam semula jadi serta tempat bersejarah yang mungkin kurang dikenali ramai.
Usaha itu dilaksanakan ketika kerajaan Johor melanjutkan kempen Tahun Melawat Johor sehingga 31 Disember 2027, dengan peruntukan RM24.75 juta ($7.72 juta) bagi mengekalkan rentak pertumbuhan sektor pelancongan.
Cuti sekolah Singapura yang berlangsung sehingga 31 Disember dijangka membuka peluang kepada pengusaha hotel, restoran, pusat peranginan dan perniagaan tempatan untuk meningkatkan pendapatan menjelang akhir tahun.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor, Encik Ivan Teo, berkata walaupun jumlah kedatangan pelawat Singapura berkurangan berbanding 2025, pihaknya yakin tempahan bilik hotel akan kembali meningkat sepanjang musim cuti sekolah.
“Jumlah kedatangan pelawat dari Singapura menurun berbanding tahun lalu (2025), berkemungkinan disebabkan keadaan jerebu dan kenaikan harga bahan api.
“Bagaimanapun, Johor Bahru masih menjadi destinasi pilihan mereka bagi cuti sekolah akan datang. Oleh itu, kami yakin kadar penginapan hotel akan menunjukkan peningkatan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
PERCUTIAN KELUARGA TIDAK TERHAD KEPADA JB
Menurut Encik Ivan, pelancong Singapura yang memiliki kenderaan sendiri boleh mempertimbangkan destinasi di luar Johor Bahru, khususnya bagi percutian melebihi sehari.
Antaranya ialah Batu Pahat, Tangkak dan Muar yang menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan serta suasana bandar kecil.
“Ramai warga Singapura yang mempunyai kereta gemar memandu untuk menikmati makanan, terutama ke bandar seperti Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
“Destinasi ini juga berpotensi menarik golongan pelancong muda yang ingin menikmati keunikan bandar kecil di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, hotel dan pusat peranginan menawarkan pelbagai pakej percutian mengikut lokasi, termasuk kerjasama dengan taman tema, pengusaha feri dan tempat makan.
Beliau berkata pusat peranginan di Desaru turut menawarkan pakej yang merangkumi lawatan ke ladang buah-buahan serta taman tema air.
“Secara keseluruhan, pakej ini masih berpatutan berbanding percutian ke negara lain,” katanya.
Namun, Encik Ivan menasihati pelancong supaya merancang perjalanan lebih awal, bagi mengelakkan waktu puncak di pusat pemeriksaan sempadan dan memilih hotel berlesen demi keselamatan.
Sementara itu, Legoland Malaysia Resort di Iskandar Puteri memperkenalkan sambutan, Brick-tacular Holidays 2026, yang berlangsung dari 13 November hingga 3 Januari 2027.
Menurut kenyataan pusat peranginan itu, pengunjung boleh menikmati pelbagai kegiatan bertemakan Krismas, termasuk persembahan secara langsung, sesi bertemu watak Lego serta permainan untuk seisi keluarga.
Kemuncaknya ialah pertunjukan 500 dron selama 15 minit pada malam ambang Tahun Baru, yang menampilkan pelbagai bentuk berinspirasikan Lego di ruang udara.
Legoland Hotel turut memperkenalkan bilik bertema Lego City bagi keluarga yang ingin bermalam.
“Singapura kekal sebagai salah satu pasaran penting bagi Legoland Malaysia Resort, didorong oleh kedudukannya yang berhampiran serta tarikan yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur.
“Kami berharap sambutan Brick-tacular Holidays dapat menarik lebih ramai pengunjung dari Singapura, di samping menggalakkan mereka mempertimbangkan percutian lebih panjang di Johor,” tambah kenyataan itu.
TEROKA ALAM SEMULA JADI, PELANCONGAN ISLAM
Pemilik Kafe Selebriti di Iskandar Puteri, Dr Zack Zainal, pula berkata warga Singapura tidak seharusnya mengehadkan percutian mereka kepada pusat beli-belah dan tempat makan yang sudah popular.
Beliau mencadangkan pelancong meneroka kawasan seperti Tanjung Piai dan Gunung Pulai yang menawarkan pengalaman berbeza daripada suasana bandar.
“Bagi saya, masih banyak tempat menarik dari segi pelancongan Islam dan alam semula jadi yang belum diterokai warga Singapura.
“Contohnya Tanjung Piai, yang merupakan kawasan paling selatan di tanah besar Asia, dan Gunung Pulai yang mempunyai air terjun semula jadi,” katanya.
Menurutnya, Iskandar Puteri juga mempunyai pelbagai pilihan tempat makan dan penginapan yang mampu menarik keluarga Singapura.
Restorannya menerima sebahagian besar pelanggan dari Singapura yang mencari pengalaman menikmati makanan bermutu pada harga berpatutan.
“Kebanyakan pelanggan kami ialah warga Singapura. Kami menawarkan makanan yang boleh dianggap sebagai kemewahan mampu milik.
“Contohnya, hidangan daging wagyu yang boleh dinikmati dengan harga kurang RM80. Ini antara tarikan kepada pelanggan dari Singapura dan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jamiyah Singapura, Encik Muhd Khair Baharin, melihat pelancongan berteraskan sejarah dan warisan Islam sebagai satu lagi kegiatan yang boleh dinikmati keluarga Singapura.
Beliau berkata lawatan ke galeri yang mempamerkan artifak Islam serta masjid bersejarah di Johor boleh memberi pengalaman pendidikan kepada kanak-kanak dan golongan muda.
“Di Johor terdapat banyak tempat menarik berkaitan sejarah dan warisan Islam yang tidak diketahui ramai warga Singapura.
“Lawatan seperti ini boleh menjadi wadah pendidikan kepada anak-anak supaya mereka lebih mengenali sejarah dan perkembangan Islam,” katanya.
Beliau berkata Jamiyah Singapura turut berminat menjalin kerjasama dengan pengusaha pelancongan Johor bagi memperkenalkan pakej lawatan dua hala.
“Kita bukan sahaja mahu membawa pelancong Singapura ke Malaysia, tetapi juga menggalakkan pelancong Malaysia dan Indonesia melawat Singapura.
“Mereka boleh mengenali sejarah Masjid Sultan dan Jamiyah Singapura. Jadi, kerjasama pelancongan ini boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
PELUANG NIAGA RENTAS SEMPADAN
Selain kegiatan percutian keluarga, sektor pelancongan Johor turut membuka peluang kepada syarikat Singapura yang mahu memperluas perniagaan ke Malaysia.
Pengarah syarikat perunding, Nous Universe Sdn Bhd, Encik Baharudin Nordin, berkata pihaknya membantu beberapa perniagaan Singapura mengembangkan operasi ke Johor, termasuk dalam sektor makanan, perkhidmatan dan pelancongan.
Beliau berkata kos operasi di Singapura menyebabkan sesetengah syarikat mempertimbangkan Johor sebagai lokasi pengeluaran atau pengembangan perniagaan.
“Kami membantu syarikat Singapura mengembangkan perniagaan ke Malaysia, termasuk mendapatkan akses kepada bantuan kerajaan yang disediakan.
“Antaranya syarikat makanan yang mahu memindahkan sebahagian kegiatan pengeluaran ke Johor Bahru kerana kos operasi di Singapura lebih tinggi,” katanya.
Menurut beliau, pengusaha pelancongan Singapura juga boleh memanfaatkan kerjasama dengan agensi tempatan bagi memperkenalkan pakej lawatan, kegiatan promosi serta acara bersama.
“Pelancongan bukan sekadar hotel atau tempat menarik. Ia melibatkan restoran, pengangkutan, perjalanan rentas sempadan dan pelbagai perniagaan lain.
“Kita mahu mewujudkan kerjasama yang menghubungkan keseluruhan sektor pelancongan antara Singapura dengan Johor,” katanya.
BAS PELANCONGAN HUBUNGKAN RTS DENGAN TARIKAN JB
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul Abd Rahim, berkata pelanjutan Tahun Melawat Johor sehingga 2027 turut mengambil kira pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka bermula Februari 2027.
Beliau berkata kerajaan negeri merancang memperkenalkan Bas Pelancongan Johor bagi menghubungkan pengunjung yang tiba di stesen RTS Bukit Chagar dengan tarikan utama sekitar pusat bandar.
Antara lokasi yang dirancang dalam laluannya ialah mercu tanda Kilometer Sifar Johor Bahru, Kota Jail, Zoo Johor, Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.
“Kita menjangkakan lebih ramai pelancong menggunakan RTS apabila ia mula beroperasi tahun depan (2027).
“Jadi, kita mahu menyediakan kemudahan supaya mereka yang tiba dengan RTS boleh terus menggunakan bas pelancongan untuk mengunjungi pelbagai tempat menarik di Johor Bahru,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut merancang memperkenalkan tarikan baharu, tawaran harga istimewa kepada pelancong luar negara serta lebih banyak acara dan konsert bagi memanjangkan tempoh kunjungan.
“Banyak produk pelancongan baru hanya dibuka sekitar pertengahan tahun ini (2026). Sebab itu kita mahu melanjutkan Tahun Melawat Johor supaya lebih ramai pelancong, khususnya dari Singapura dan Indonesia, berpeluang menikmatinya,” katanya.