Topik diikuti
Pergi ke BHkuTukang jahit Larkin rindu pelanggan S’pura yang kini kurang tempah baju
Peniaga masih bergelut kembalikan kemeriahan pasca-Covid-19 dengan pelanggan lama kian berusia, generasi muda beralih ke pusat beli-belah
Tukang jahit Larkin rindu pelanggan S’pura yang kini kurang tempah baju
Suatu ketika dahulu, deruan mesin jahit di tingkat dua Pasar Awam Larkin hampir tidak pernah berhenti, terutama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila pelanggan dari Singapura berpusu-pusu menghantar kain untuk dijadikan pakaian tradisional.
Namun, kemeriahan itu kini semakin berkurangan apabila sebahagian kedai jahit yang pernah bergantung kepada pelanggan dari seberang Tambak Johor masih bergelut untuk memulihkan perniagaan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Meskipun sempadan Malaysia-Singapura sudah lama dibuka semula, sesetengah tukang jahit mendapati pelanggan lama semakin berusia, manakala generasi muda lebih gemar membeli pakaian siap di pusat beli-belah atau menerusi wadah dalam talian.
Keadaan itu menyebabkan mereka bukan sahaja kehilangan pelanggan tetap, malah berdepan cabaran mencari generasi baharu yang berminat meneruskan tradisi menempah baju Melayu dan pakaian tradisional di Larkin.
Bagaimanapun, tinjauan Berita Harian (BH) mendapati masih ada sinar harapan apabila sebahagian peniaga mula menerima tempahan awal daripada warga Singapura untuk Aidilfitri 2027.
Pelanggan lama semakin berusia
Pemilik Sabad Collection, Encik Mohd Said Mustaffa, 63 tahun, berkata perniagaannya yang sudah beroperasi selama 32 tahun masih belum kembali serancak sebelum pandemik.
Menurut beliau, sebahagian besar pelanggan tetapnya dahulu merupakan warga Singapura yang sanggup datang bersama keluarga untuk menempah pakaian sedondon.
“Dulu apabila saya mula berniaga, pelanggan saya berusia sekitar 25 hingga 30 tahun. Mereka datang bersama anak-anak untuk menempah baju Melayu.
“Sekarang mereka sudah berusia 60 hingga 70 tahun. Ada yang sakit, ada yang sudah meninggal dunia, sedangkan anak-anak mereka pula lebih suka membeli pakaian di butik atau pusat beli-belah,” katanya.
Beliau berkata pelanggan Singapura yang masih setia biasanya membuat tempahan lebih awal, terutama bagi baju Melayu teluk belanga dan cekak musang.
“Kalau Hari Raya jatuh pada Mac, ada pelanggan Singapura yang sudah menghantar kain sejak Julai, Ogos atau September tahun sebelumnya.
“Mereka memang suka menempah awal. Biasanya apabila masuk Disember atau Januari, saya sudah berhenti menerima tempahan supaya semua pakaian dapat disiapkan tepat pada waktunya,” katanya.
Dengan tiga pekerja, kedainya mampu menyiapkan sekitar 10 pasang pakaian sehari, bergantung pada jenis jahitan, dengan upah bagi sepasang baju Melayu bermula sekitar RM100 ($31).
Namun, Encik Mohd Said, tidak begitu yakin pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura kelak mampu mengembalikan kemeriahan Larkin seperti dahulu.
“Walaupun RTS dibuka, saya rasa pelanggan yang datang ke Larkin tidak akan bertambah ramai.
“Golongan muda sekarang lebih suka pergi ke Angsana, Paradigm Mall atau Mid Valley. Yang masih datang ke Larkin kebanyakannya orang lama,” katanya.
Tempahan Raya mula tunjuk peningkatan
Berbeza dengan Encik Mohd Said, Pengurus As Fashion Collection, Cik Hasanah Hafid, 53 tahun, melihat perkembangan lebih menggalakkan apabila tempahan pakaian untuk Aidilfitri 2027 mula diterima.
Beliau yang menguruskan kedai itu sejak 2016 berkata pelanggan Singapura masih membentuk sebahagian besar daripada mereka yang mendapatkan perkhidmatan jahitan.
“Alhamdulillah, tempahan Raya kali ini nampaknya lebih baik daripada tahun lalu (2025).
“Sejak Covid-19, perniagaan jahitan di Larkin perlahan-lahan mula pulih. Sekarang sudah ada pelanggan yang menghantar kain lebih awal,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan pelanggan menempah pakaian mengikut cita rasa masing-masing, termasuk warna biru kehijauan, biru firus dan jingga terang.
“Pelanggan datang membawa kain, kemudian kita akan padankan dengan potongan dan corak yang mereka mahukan.
“Upah jahitan biasanya sekitar RM80 sepasang, tetapi bergantung pada jenis kain dan kerumitan pakaian,” katanya.
Beliau berkata tempahan biasanya dihentikan sekitar tiga hingga empat bulan sebelum Aidilfitri bagi memastikan semua pesanan dapat disiapkan.
Sementara itu, pemilik Yani Fashion, Encik Mohd Khairul Mohd Ali, 50 tahun, berkata sekitar 60 peratus pelanggannya berasal dari Singapura, namun kebanyakan mereka kini mendapatkan khidmat mengubah suai pakaian berbanding menempah baju baharu.
“Pelanggan Singapura biasanya datang pada hujung minggu. Mereka suka menghantar pakaian dan mengambilnya semula dalam satu atau dua jam kerana mahu terus pulang.
“Sekarang lebih banyak kerja mengubah suai pakaian. Tempahan baru tidak sebanyak dahulu,” katanya.
Kedai yang beroperasi sejak 2004 itu menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk memendekkan paras seluar dengan bayaran sekitar RM10 dan menjahit butang serendah RM1.
Masih ada daya tarikan tersendiri
Bagi pemilik Toko Andalas, Cik Nely Asrinda Bustamal, 47 tahun, kekuatan Pasar Awam Larkin terletak pada harga yang berpatutan serta hubungan rapat antara peniaga dengan pelanggan.
Beliau berkata sekitar 90 peratus pelanggannya terdiri daripada warga Singapura, terutama mereka yang sudah biasa membeli kain dan songkok di pasar berkenaan.
“Kalau pelanggan Singapura yang sudah biasa datang ke Pasar Larkin, mereka tahu harga di sini lebih murah dan masih boleh berunding.
“Contohnya, songkok baldu yang kita jual pada harga RM69 boleh mencecah RM90 hingga lebih RM100 di tempat lain,” katanya.
Beliau yang mewarisi perniagaan keluarga yang bermula pada 1994 berkata pelanggan turut mencari kain kapas Jepun, kain pelapik dan bahan untuk menghasilkan baju Melayu, kurta serta jubah.
Menurut beliau, ramai pelanggan Singapura lebih gemar membeli kain atau menempah pakaian lebih awal bagi mengelakkan kesesakan menjelang Aidilfitri.
“Biasanya mereka datang sebelum Ramadan untuk membeli sedikit demi sedikit. Apabila hampir Raya, mereka datang lagi mencari songkok, kuih dan keperluan lain.
“Di sini kelebihannya harga boleh dibincangkan. Pelanggan lama memang tahu perkara itu,” katanya.
Warga S’pura mula buat persiapan
Seorang warga Singapura dari Jurong West yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Julia, 58 tahun, berkata beliau memilih menempah pakaian di Larkin selepas membaca ulasan positif mengenai perkhidmatan jahitan di kawasan itu.
Beliau yang sebelum ini mendapatkan perkhidmatan jahitan di Singapura memperuntukkan sekitar RM300 hingga RM400 untuk pakaian Raya.
“Saya lihat ulasan di Google dan kebanyakannya positif. Jadi saya telefon dahulu sebelum datang.
“Ini kali pertama saya mahu mencuba menempah pakaian di sini. Saya hendak menukar cita rasa kerana sebelum ini biasanya saya membuat pakaian di Singapura,” katanya.
Beliau berkata persiapan awal penting kerana proses menjahit pakaian mengambil masa, terutama apabila semakin hampir dengan musim perayaan.
Sementara itu, pesara dari Bukit Panjang, Encik Zainudin Abdul Samad, 66 tahun, berkata beliau tidak lagi membuat pembelian pakaian Raya secara berlebihan kerana sudah mempunyai koleksi mencukupi.
“Saya sudah ada sekitar 12 pasang baju Melayu di rumah, termasuk yang masih baru.
“Sekarang saya hanya membeli apa yang perlu. Kalau terlalu banyak pakaian, lebih baik dermakan kepada orang yang memerlukan,” katanya.
“
“Dulu apabila saya mula berniaga, pelanggan saya berusia sekitar 25 hingga 30 tahun. Mereka datang bersama anak-anak untuk menempah baju Melayu. Sekarang mereka sudah berusia 60 hingga 70 tahun. Ada yang sakit, ada yang sudah meninggal dunia, sedangkan anak-anak mereka pula lebih suka membeli pakaian di butik atau pusat beli-belah.”“
“Pelanggan Singapura biasanya datang pada hujung minggu. Mereka suka menghantar pakaian dan mengambilnya semula dalam satu atau dua jam kerana mahu terus pulang. Sekarang lebih banyak kerja mengubah suai pakaian. Tempahan baru tidak sebanyak dahulu.”“
“Saya lihat ulasan di Google dan kebanyakannya positif. Jadi saya telefon dahulu sebelum datang. Ini kali pertama saya mahu mencuba menempah pakaian di sini. Saya hendak menukar cita rasa kerana sebelum ini biasanya saya membuat pakaian di Singapura.”