Topik diikuti
Pergi ke BHkuJohor sedia langkah urai kesesakan menjelang RTS Link
Laluan kontra, sistem aliran boleh ubah di Tambak Johor, dan pengukuhan bas awam antara rancangan
JOHOR BAHRU: Johor sedang melaksanakan dan merancang lima langkah utama bagi menyuraikan kesesakan serta menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam negeri menjelang pengoperasian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
Langkah tersebut merangkumi pengenalan Komuter Shuttle Selatan dan Grab Shuttle, pengukuhan perkhidmatan bas awam serta penyediaan kemudahan meletak kenderaan dan menaiki pengangkutan awam atau ‘Park and Ride’.
Kerajaan negeri turut merancang laluan kontra, lampu isyarat pintar dan sistem aliran boleh ubah mengikut keadaan lalu lintas di Tambak Johor.
Selain itu, terminal dan perhentian bas awam akan melalui proses pendigitalan, manakala Jalan Jim Que akan dikhususkan bagi pergerakan bas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata perancangan menyeluruh diperlukan bagi memastikan RTS Link tidak menimbulkan kesesakan baru di pusat bandar.
“Keselamatan jalan raya dan penyuraian lalu lintas memerlukan perancangan menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian bersifat sementara.
“Matlamatnya adalah memastikan pergerakan rakyat lebih tersusun, perjalanan lebih selamat dan manfaat RTS Link dapat diperluas ke seluruh rangkaian pengangkutan Johor,” katanya dalam kenyataan pada 24 Ogos.
Bagi jangka panjang, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan sistem Transit Aliran Automasi Bertingkat (E-ART) serta usaha menambah baik dan memperkukuh prasarana pengangkutan negeri.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya di Putrajaya, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mesyuarat itu turut memberikan perhatian kepada penyepaduan RTS Link dengan sistem pengangkutan awam bagi menyokong pergerakan rentas sempadan yang lebih lancar.
“Kita mahu kemudahan baru ini benar-benar memudahkan pergerakan rakyat,” kata Datuk Ahmad Zahid.
Dari segi keselamatan jalan raya, Ops Cegah akan dipertingkatkan menerusi kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak majikan.
Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (Safero) pula akan dilaksanakan secara bertahap bagi meningkatkan kemahiran serta mutu kerja pemandu kenderaan berat.
Datuk Ahmad Zahid juga berkata kerajaan turut mengekalkan sasaran mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
“Setiap kementerian, agensi, industri dan masyarakat perlu bergerak bersama kerana keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab kita semua.
“Ukuran kejayaan bukan berapa banyak kempen atau operasi dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.
