JOHOR BAHRU: Johor akan menerima 14 pam air mudah alih pada pertengahan Februari ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi gelombang akhir musim tengkujuh.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Encik Azren Khalil, berkata gelombang akhir biasanya menandakan bermulanya tempoh peralihan monsun dan dijangka membawa episod hujan yang ketara.
“Fenomena ini diramalkan berlaku antara akhir Februari dengan awal Mac.
“Sebanyak 14 pam mudah alih yang akan diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada pertengahan Februari adalah tepat pada masanya untuk menangani sebarang kemungkinan akibat musim monsun,” katanya, lapor The Star.
Johor pada masa ini memiliki 49 pam mudah alih, sebahagian daripadanya sedang digunakan dan sebahagiannya disimpan untuk penggunaan masa hadapan.
“Semua pam yang tidak digunakan disimpan di atas lori jabatan yang sentiasa bersedia untuk pergerakan pantas ke mana-mana kawasan berisiko bencana di Johor.
“Untuk menyediakan pam biasanya mengambil masa kira-kira tiga jam dan kami sentiasa berjaga-jaga untuk memasangnya dengan segera apabila diperlukan,” jelas Encik Azren.
Beberapa pam ditempatkan secara tetap di kawasan luar bandar dan di pintu kawalan pasang surut sungai yang terletak di Pontian, Batu Pahat dan Mersing.
Selain keadaan monsun semasa, Encik Azren berkata jabatan itu turut prihatin dengan fasa monsun barat daya yang akan datang.
“Pada 2024 lalu, kami mengalami kepanasan melampau dan kami menjangkakan keadaan serupa tahun ini (2025).
“Adalah penting untuk memulakan perancangan sekarang untuk pemuliharaan sumber air, terutama untuk kegunaan pertanian dan perindustrian,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Terpilih Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor, Encik Anuar Abd Manap, berkata Johor dijangka mengalami tiga gelombang pada musim tengkujuh ini, dengan gelombang ketiga biasanya paling lama.
“Kita baru saja melalui gelombang pertama dan kini sedang bersiap untuk gelombang kedua. Setakat ini, tiada laporan kerosakan aset, tetapi jika berlaku, ia biasanya akan dikendalikan oleh agensi masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah membuat persiapan termasuk menyediakan bekalan untuk mangsa banjir di PPS.
Encik Anuar juga berkata kerajaan Johor sedang menunggu bantuan kewangan daripada Nadma bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di Johor baru-baru ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg