Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor tetapkan tarikh akhir untuk basmi kemiskinan tegar

Mar 11, 2025 | 11:16 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor telah menetapkan 25 Mac ini sebagai garis masa sasaran untuk mencapai kadar kemiskinan tegar sifar di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti 235 isi rumah miskin tegar setakat 3 November 2024.

Katanya, dalam komitmen kerajaan negeri untuk membasmi kemiskinan tegar di Johor, ia telah melancarkan usaha intensif untuk menangani perkara itu dengan tarikh akhir Mac yang disasarkan.

“Penurunan ketara dalam angka kemiskinan tegar adalah hasil inisiatif bersama yang melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan negeri telah melaksanakan program yang disasarkan seperti inisiatif ‘Keluarga Angkat’ dan ‘Dapur Kasih Johor’ untuk membantu keluarga susah menambah pendapatan isi rumah,” kata Encik Mohd Fared selepas taklimat membasmi kemiskinan tegar dan program ‘Dapur Kasih Johor 2025’ di Kota Iskandar pada 10 Mac.

Beliau menambah, kerajaan negeri telah menggunakan pendekatan semakan suku tahunan untuk menilai tahap kemiskinan dan bukannya menunggu semakan tahunan.

“Kami berurusan dengan data langsung, jadi tiada sasaran khusus untuk pembasmian. Sebagai contoh, jika pencari nafkah tunggal sesebuah keluarga meninggal dunia dan mereka yang ditinggalkan tidak mempunyai sumber pendapatan lain, mereka secara automatik akan disenaraikan sebagai miskin tegar.

“Pendekatan proaktif ini membolehkan kami campur tangan awal dan memberikan sokongan tepat pada masanya kepada mereka yang memerlukan. Matlamat utama kami bukan hanya untuk membasmi kemiskinan tegar, tetapi untuk memastikan tiada keluarga yang kembali ke dalam kesusahan,” katanya, lapor The Star.

Bagi mengukuhkan usaha ini, Encik Mohd Fared berkata bajet bagi program ‘Dapur Kasih Johor’ telah dinaikkan daripada RM3.2 juta ($960,000) kepada RM3.9 juta, memberi manfaat kepada 3,261 ketua isi rumah pada 2025.

Beliau menambah bahawa antara program kebajikan lain, Majlis Agama Islam Johor (Maij) memperuntukkan RM218.4 juta pada 2025 termasuk RM78 juta bagi elaun sara hidup, RM18 juta bagi bantuan Hari Raya, RM68 juta bagi rawatan dialisis, serta RM12 juta bagi bantuan sekolah.

“Kami optimis boleh mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang 25 Mac, tetapi kami juga mengakui cabarannya.

“Walaupun beberapa kes kekal disebabkan keadaan yang tidak dijangka, kami akan meneruskan usaha untuk memastikan penyelesaian yang mampan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg