KUALA LUMPUR: Johor telah menolak hampir 30 peratus permohonan pusat data dalam tempoh lima bulan lalu sedang pihak berkuasa negeri itu memberi tumpuan kepada pemuliharaan sumber dan mengawal selia industri untuk memastikan faedah maksimum kepada ekonomi tempatan.
Johor, yang muncul sebagai pasaran pusat data utama Malaysia dan bersedia menjadi yang terbesar di Asia Tenggara, mula menyemak permohonan melalui satu jawatankuasa ad hoc pada Jun 2024 berikutan kebimbangan bahawa pusat data bernilai berbilion dolar boleh menjejas sumber tempatan seperti bekalan air dan elektrik pada tahun-tahun akan datang.
Naib pengerusi jawatankuasa penyelarasan pembangunan pusat data negeri Johor, Encik Lee Ting Han, berkata empat permohonan daripada pengendali pusat data luar negara telah ditolak dalam tempoh lima bulan lalu daripada 14 jumlah permohonan yang diterima.
Jawatankuasa itu menolak permohonan pusat data tersebut kerana pengendali terbabit tidak menunjukkan adanya amalan mampan untuk mengurangkan penggunaan air dan kuasa, jelas Encik Lee.
Permohonan perlu memasukkan rancangan yang dicadangkan untuk tapak lokasi dan usaha kemampanan, serta butiran pekerjaan dan gaji yang ditawarkan.
“Sesetengah permohonan ditolak kerana pengendali memilih lokasi yang tidak mempunyai prasarana utiliti mencukupi, yang boleh berisiko memberi tekanan ke atas bekalan air masyarakat setempat,” katanya kepada The Straits Times.
Kapasiti pusat data negeri Johor telah berkembang daripada hanya 10 megawatt (MW) pada awal 2021 kepada sekitar 1.3 gigawatt (GW) pada masa ini, dan angka itu dijangka meningkat kepada 2.7GW menjelang 2027, kata Encik Lee.
Menurut firma penyelidikan pusat data Baxtel, pada masa ini, Johor mempunyai 13 kemudahan pusat data merentasi lebih 1.65 juta kaki persegi ruang.
Di Malaysia, kos untuk membina pusat data dianggarkan sekitar AS$10 juta ($13.4 juta) setiap megawatt, kata pakar.
Sebahagian kapasiti pusat data Johor telah dibangunkan semasa tempoh moratorium pihak berkuasa Singapura ke atas pusat data baru.
Singapura telah lama menjadi hab pusat data untuk Asia-Pasifik dengan lebih 70 pusat data dengan kapasiti 1.4GW, tetapi tekanan ke atas tenaga kuasa dan tanah telah menyebabkan moratorium pusat data yang berkuat kuasa pada 2019 dan ditarik balik hanya pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg