KUALA LUMPUR: Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, pada 3 Julai, diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) kerana gagal membayar pinjaman persahabatan daripada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan, semuanya berjumlah RM5.28 juta ($1.59 juta).
Keputusan itu dibuat oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, pada 3 Julai, selepas membenarkan petisyen pemiutang dikemukakan syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 November tahun lalu (2024), lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut petisyen itu, Jovian yang juga bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaku penghutang penghakiman, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024.
Ia menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air sebanyak RM 5,284,340.66, termasuk faedah setakat 21 Mei 2024, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024 melalui kes saman utama.
Peguam, Cik Siti Nur Athirazatti Rohizad, yang mewakili syarikat berkenaan, berkata pihaknya memfailkan Notis Kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan yang difailkan oleh pihak yang memulakan tindakan (plaintif) untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.
Cik Siti Nur Athirazatti berkata selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan Notis Kebankrapan, pihaknya kemudian memfailkan Petisyen Pemiutang, yang dibenarkan mahkamah pada 3 Julai.
“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Pada 2 April 2024, Jovian diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.
Pada 16 Mei 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Encik Yong Zhen Wei.
Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Februari 2022, dan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg