PUTRAJAYA: Malaysia merancang untuk melancarkan pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjelang suku pertama 2026, kata Menteri Ekonomi Malaysia yang baru, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau dijadual bertemu Menteri Pembangunan Negara Singapura, Encik Chee Hong Tat, pada hujung Januari ini bagi membincangkan perkara itu.
“Bagi JS-SEZ, sememangnya perancangan kami adalah untuk melancarkan pelan hala tuju itu dalam tempoh suku pertama. Pelan JS-SEZ akan kita umumkan, insya-Allah dalam suku pertama 2026.
“Namun sebelum itu, saya akan bertemu Menteri dari Singapura bagi mendapatkan kefahaman bersama antara kededua negara,” katanya pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 di Putrajaya pada 8 Januari, lapor laman web Astro Awani.
Mengulas lanjut, Encik Akmal menegaskan bahawa menjelang 2026, faktor geopolitik memerlukan perhatian serius, namun Malaysia kekal fokus memperkukuh pencapaian ekonomi melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan pelan pembangunan lain yang sedia dirangka.
“Geopolitik sememangnya akan menjadi cabaran, tetapi pada masa sama Malaysia mesti fokus kepada hasil akhir ekonomi. Sama ada melalui RMK13 atau pelan lain seperti JS-SEZ, semuanya perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Mengenai konflik Venezuela-Amerika Syarikat, Encik Akmal berkata kebanyakan pihak masih menilai kesannya terhadap pasaran global.
“Semua masih menunggu untuk melihat impak daripada konflik itu. Ramai masih cuba memahami kesan yang mungkin timbul.
“Namun bagi Kementerian Ekonomi, fokus tetap kepada pelaksanaan rancangan lima tahun Malaysia dan memastikan perancangan berjalan lancar,” katanya.
Menjawab soalan berhubung keutamaan projek-projek kecil di bawah agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Encik Akmal berkata kementeriannya melihat sasaran dan objektif yang ingin dicapai, bukan sekadar senarai projek.
“Kementerian Ekonomi melihat rancangan lima tahun bukan hanya bersandarkan senarai projek semata-mata. Kita ada sasaran dan objektif yang cuba dicapai. Daripada sasaran itu, kita zahirkan inisiatif dan seterusnya menyusun projek,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan turut menekankan projek berskala kecil untuk memastikan manfaatnya dapat dirasa secara meluas oleh rakyat.
Merujuk bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, Encik Akmal menegaskan projek kecil termasuk kerja-kerja baik pulih infrastruktur adalah penting dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak agar pelaksanaannya tidak tertangguh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg