Topik diikuti
Pergi ke BHkuJumlah pelancong ke M’sia meningkat meski konflik Timur Tengah berlarutan
Terima lebih 21j pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026, kenaikan 2.5%
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan lebih 21 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada separuh pertama 2026, meningkat 2.5 peratus meskipun ketegangan geopolitik di Timur Tengah menyebabkan 4,111 penerbangan berjadual ke negara itu dibatalkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata data Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan sebanyak 21,118,039 ketibaan pelancong direkodkan antara Januari hingga Jun.
Menurutnya jumlah itu meningkat 514,958 ketibaan atau 2.5 peratus berbanding 20,603,081 yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.
Beliau bagaimanapun berkata kadar itu adalah pertumbuhan terendah bagi tempoh sama sejak pemulihan pasca pandemik bermula, dengan ketibaan 26 daripada 50 pasaran sumber utama mencatatkan penurunan.
“Ini terutamanya disebabkan oleh kesan ketegangan geopolitik di Timur Tengah terhadap operasi penerbangan antarabangsa yang seterusnya menjejas pasaran perjalanan ke luar negara di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Laporan Prestasi Separuh Pertama 2026 untuk pelancongan pada 24 Ogos, di Putrajaya, lapor Harian Metro.
Datuk Tiong berkata Eropah dan Timur Tengah menjadi antara pasaran yang paling terjejas, dengan Perancis satu-satunya daripada tiga pasaran utama Eropah yang mencatatkan pertumbuhan, manakala ketibaan dari Britain dan Jerman menurun.
Beliau berkata Jerman merekodkan pertumbuhan negatif buat kali pertama sejak pasaran pelancongan mula pulih selepas pandemik.
Ketibaan dari Turkey, Russia, Sepanyol dan Poland meningkat, manakala pasaran seperti Belanda, Italy, Belgium, Arab Saudi, Oman dan Mesir terjejas pada tahap berbeza.
“Konflik itu turut menyebabkan kenaikan harga bahan api antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan ke luar negara dan menjejas perjalanan dari wilayah lain, termasuk India di Asia Selatan serta Taiwan dan Korea Selatan di Asia Timur Laut,” katanya.
Datuk Tiong bagaimanapun berkata pertumbuhan berterusan dari Singapura, Filipina, China, Asia Tengah, Oceania dan Amerika Utara membantu Malaysia mengekalkan peningkatan keseluruhan sebanyak 2.5 peratus.
Beliau berkata Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 91,486 penerbangan yang dijadualkan pada asalnya.
Menurut Datuk Tiong, sebanyak 4,111 penerbangan dibatalkan akibat ketegangan geopolitik, namun penambahan 683 penerbangan baharu menjadikan jumlah keseluruhan hanya 3,428 penerbangan atau 3.7 peratus lebih rendah daripada jadual asal.
“Kesan konflik di Asia Barat jelas tergambar dalam operasi penerbangan. Sejak konflik bermula pada Februari, bilangan penerbangan berjadual yang dibatalkan setiap bulan terus meningkat,” katanya.
Menurut Datuk Tiong, sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari sebelum meningkat kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan 1,419 pada Jun.
Menurut beliau lagi, Tahun Melawat Malaysia turut dilanjutkan hingga 2027 bagi mengekalkan momentum pertumbuhan industri pelancongan negara.
