Topik diikuti
Pergi ke BHkuKawasan Kilometer Sifar Johor Bahru dipertingkat, jadi tarikan pelancong
Kerja naik taraf mahu tonjol identiti, sejarah dan warisan bandar raya sambil menarik lebih ramai pengunjung
JOHOR BAHRU: Kawasan Kilometer Sifar Johor Bahru di Jalan Dato’ Onn sedang dinaik taraf dan diperindah dengan hasrat menjadikannya antara mercu tanda bandar raya yang bukan sahaja menarik warga tempatan, malah berpotensi menjadi tarikan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam, berkata pembangunan kawasan berkenaan perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan identiti, sejarah dan warisan Johor Bahru.
Beliau berkata Kilometer Sifar merupakan antara lokasi yang cukup sinonim dengan bandar raya itu dan mempunyai nilai tersendiri untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan bandar.
“Bagi saya, pembangunan bandar bukan hanya tentang prasarana. Kita juga perlu memastikan identiti, sejarah, budaya dan warisan sesuatu tempat terus diketengahkan supaya pembangunan yang kita bawa tidak menghilangkan nilai dan jati diri Johor.
“Lokasi seperti ini boleh menjadi sebahagian daripada rangkaian pelancongan bandar yang lebih menarik dan memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Ogos.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja naik taraf kawasan berkenaan.
Encik Pannir Selvam berkata hasil kerja yang dilaksanakan setakat ini kelihatan lebih kemas, tersusun dan menarik.
Menurutnya, usaha memperindah kawasan tumpuan di pusat bandar penting dalam membentuk imej Johor Bahru, khususnya ketika bandar raya itu terus menerima kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Hasil kerja yang dilaksanakan nampak cantik, kemas dan lebih tersusun.
“Lebih penting, kawasan ini mempunyai potensi menjadi salah satu lokasi ikonik yang bukan sahaja menjadi tumpuan warga tempatan, tetapi turut menarik pelancong yang berkunjung ke Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata setiap projek peningkatan kawasan bandar perlu dipantau bagi memastikan mutu kerja memenuhi piawaian dan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat.
“Saya mahu setiap projek yang dilaksanakan dipantau dengan baik, disiapkan dengan kualiti yang sepatutnya dan paling penting, memberikan manfaat sebenar kepada rakyat serta negeri Johor,” katanya.
Menurut Encik Pannir Selvam, usaha mencantikkan Kilometer Sifar turut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membentuk Johor sebagai negeri yang maju, bersih dan tersusun tanpa mengetepikan warisan yang membentuk identitinya.
Katanya, pembangunan fizikal perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara unsur kebudayaan dan sejarah supaya perubahan wajah bandar tidak menyebabkan nilai asal sesuatu kawasan semakin terhakis.
“Johor Bahru perlu menjadi bandar raya yang moden, tetapi pada masa sama mempunyai identiti, budaya dan warisan yang kuat.
“Apabila unsur-unsur ini digabungkan dengan baik, kita bukan sahaja memperindah bandar, tetapi turut mewujudkan destinasi pelancongan yang mempunyai cerita dan jati diri tersendiri,” katanya.
Beliau berharap kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan pihak berkaitan dapat diteruskan bagi menghidupkan lebih banyak ruang bandar yang mempunyai nilai sejarah serta potensi pelancongan.
Usaha itu, katanya, dapat menjadikan Johor Bahru lebih menarik untuk diterokai pengunjung selain memperkukuh rasa bangga warga tempatan terhadap identiti bandar raya mereka sendiri.
