KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memperkenalkan Kad Pekerja Madani, satu inisiatif yang diberi kepada sejuta ahli kesatuan pekerja untuk menerima akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.
Pengumuman pengenalan kad itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 1 Mei.
“Kad Pekerja Madani untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja ini, diberi diskaun dalam kemudahan itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Antara syarikat yang terbabit menawarkan akses diskaun itu termasuk pasar raya Aeon, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, Sodar dan Bateriku.
Kad Pekerja Madani diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai medium penyampaian faedah bersasar melalui pendekatan kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor swasta.
Ia bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup warga pekerja, khususnya ahli kesatuan sekerja, menerusi pemberian diskaun dan faedah khas.
Selain itu, ia juga untuk meningkatkan daya tarikan keahlian kesatuan sekerja melalui penawaran insentif dan kemudahan yang relevan kepada golongan pekerja, di samping menggalak pembabitan sektor swasta dalam agenda kebajikan pekerja nasional menerusi pendekatan saling menang.
Kad itu juga satu inisiatif mengukuhkan jaringan keselamatan sosial pekerja melalui sokongan langsung terhadap akses kehidupan harian secara lebih sistematik dan mampan.
Di samping itu, Datuk Anwar turut menggesa warga pekerja agar terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab dengan penuh ketekunan serta keikhlasan, selaras dengan peranan penting mereka sebagai pemangkin utama kemajuan negara.
Beliau berkata walaupun Malaysia mencatat pelbagai kejayaan dalam aspek pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pembangunan sektor pekerjaan, masih wujud kelemahan yang perlu diberi perhatian untuk penambahbaikan.
Menurutnya, usaha berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing dapat direalisasikan secara menyeluruh.
“Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global, termasuk tindakan sesuka hati kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
“Namun, kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam.
“Tidak kira sektor mana, pekerja yang berpegang kepada nilai keikhlasan dan kepercayaan kepada negara pasti menyumbang kepada pembentukan negara hebat,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg