Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar murid sekolah di M’sia alami kemurungan turun

Nov 4, 2025 | 4:24 PM
pelajar, kemurungan, turun
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Kadar murid sekolah di Malaysia yang menunjukkan tanda awal kemurungan dan kebimbangan didapati berkurang secara ketara dalam tempoh tiga tahun ini, hasil pelaksanaan pelbagai program sokongan psikososial dan campur tangan tertumpu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek, berkata berdasarkan Saringan Minda Sihat yang dijalankan dari sesi persekolahan 2022/2023 hingga 2024/2025, ia mendapati, peratus murid sekolah rendah berisiko kemurungan menurun daripada 36.42 peratus kepada hanya 5.39 peratus sehingga September 2025.

Beliau berkata bagi tanda awal kebimbangan, ia turut menunjukkan trend menurun iaitu daripada 6.52 peratus (2022/2023) kepada 5.75 peratus sehingga September 2025.

“Penurunan ini membuktikan keberkesanan pengesanan awal, program sokongan psikososial dan intervensi berfokus yang dilaksanakan di sekolah. 

“Usaha ini selari dengan pendekatan pencegahan berterusan bagi memastikan kesejahteraan murid terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 4 November.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Encik Zahir Hassan (Pakatan Harapan – Wangsa Maju) mengenai status kesihatan mental murid dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini serta rancangan kerajaan bagi mewujudkan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di sekolah.

Ia berikutan dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan 7.9 peratus (424,000) murid terjejas dengan isu kesihatan mental.

Mutakhir ini, isu kesihatan mental murid dan pelajar sekolah di Malaysia menjadi tumpuan, menyusuli beberapa kes jenayah dan salah laku yang berlaku di sekolah membabitkan pelajar, termasuk kes bunuh, rogol dan buli sehingga mengakibatkan kematian.

Cik Fadhlina turut memaklumkan, bagi sekolah menengah, peratus murid pada tahap sangat teruk bagi tanda awal kemurungan menurun daripada 2.21 peratus (2022/2023) kepada 0.8 peratus sehingga September 2025.

“Bagi tanda awal kebimbangan yang sangat teruk pula, kadarnya turun daripada 4.83 peratus kepada 2.01 peratus dalam tempoh sama,” katanya.

Menurut Cik Fadhlina Saringan Minda Sihat dilaksanakan setiap tahun oleh KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi semua murid Tahun Lima hingga Tingkatan Enam, sebagai langkah pengesanan awal terhadap risiko kemurungan dan kebimbangan.

Selain itu, KPM turut memperkukuh usaha melalui Program Minda Sihat Sekolah, yang merangkumi promosi minda sihat, saringan, campur tangan, konsultasi ibu bapa serta kerjasama dengan agensi awam dan swasta.

“Saringan dilakukan sekali setahun kepada semua murid, manakala bagi mereka yang dikenal pasti mempunyai masalah kesihatan mental teruk, saringan dijalankan dua kali setahun,” katanya.

Cik Fadhlina menegaskan, KPM kekal dengan iltizam dalam memastikan kesejahteraan murid melalui pelbagai program kesedaran, kaunseling dan campur tangan agar isu kesihatan mental dapat ditangani secara berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg