Sejumlah RM170 juta ($51.7 juta) wang yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, akan dilucut hak dan menjadi milik kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, setakat ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) belum membuat keputusan untuk membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak yang didakwa terlibat dalam kes itu.
“Pada sebutan kes (melibatkan Datuk Ismail Sabri) pada 8 September, responden (Datuk Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus) tidak berhasrat untuk mencabar permohonan SPRM untuk melucut hak wang RM170 juta ini.
“Itu langkah pertama yang kita lakukan (untuk mendapatkan semula wang). Untuk tuduhan, saya tidak kata beliau tidak perlu didakwa, tetapi perkara itu (tuduhan) kita serahkan kepada TPR,” katanya dalam sidang media pada 9 September di Putrajaya.
Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang berkenaan yang didakwa milik Datuk Ismail Sabri, yang disita daripada Datuk Mohammad Anuar, kepada kerajaan Malaysia.
Datuk Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera (Pahang), sebelum ini telah disiasat SPRM pada Mac lalu, sebagai suspek dalam dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM700 juta.
Dana terbabit adalah bagi tujuan promosi dan publisiti kerajaan terdahulu dan kerajaan Datuk Ismail Sabri, yang juga mantan Naib Presiden Umno, termasuk bagi kempen Keluarga Malaysia yang dicetuskan ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri sejak Ogos 2021 hingga November 2022.
SPRM sebelum ini turut mendedahkan penemuan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta – yang dirampas bersama wang tunai terbabit dari tiga premis, termasuk sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian) di Lembah Klang yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri dan empat bekas pegawainya.
Dalam perkembangan lain, SPRM turut membersihkan nama bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, daripada dakwaan mempunyai kaitan dengan skandal perlombongan di Sabah.
Tan Sri Azam berkata kes berkenaan kini ditutup selepas siasatan pihaknya mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada syarikat milik Datuk Farhash dan TPR memutuskan tiada sebarang tuduhan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang dikaitkan dalam kes itu.
“Kita telah jalankan siasatan dengan memanggil semua yang terlibat termasuk kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri dan pihak-pihak lain yang dikatakan terbabit.
“TPR putuskan tiada kes jenayah boleh dikenakan kepada mana-mana pihak dan tiada isu perlanggaran tadbir urus terlibat, maka kes ini telah pun ditutup,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli, iaitu mantan Menteri Ekonomi yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dinaungi Datuk Anwar, menggesa SPRM menyiasat Datuk Farhash atas dakwaan syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu telah menerima perolehan kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.
Pendedahan itu menimbulkan persoalan umum kerana permit pencarian galian tersebut dikatakan diperoleh hanya dalam tempoh kurang tiga bulan selepas syarikat berkenaan didaftarkan.
Skandal penyelewengan lesen cari gali di Sabah adalah antara kes yang menggoncang kestabilan politik di negeri itu, dengan dua Ahli Dewan Undangan (Adun) Sabah telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan berhubung permohonan lesen cari gali mineral.
Dua wakil rakyat berkenaan ialah Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan Adun Sindumin, Datuk Yusof Yacob, serta seorang ahli perniagaan terbabit, Encik Chieng Albert Tei Jiann.
Sementara itu, Tan Sri Azam turut memperincikan beberapa kes berprofil tinggi lain yang akan berdepan tuduhan di mahkamah.
Ini termasuk kes empat pegawai kanan tentera Malaysia yang terbabit dalam sindiket penyeludupan barang larangan di Johor dan 20 pegawai bank yang terlibat sindiket penipuan pinjaman.
Selain itu, katanya, pemilik Lebuhraya Maju (MEX), Tan Sri Abu Sahid Mohamed, yang didakwa atas 17 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM450 juta pada 8 September, akan didakwa kali kedua dengan tujuh tuduhan lagi dalam masa terdekat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg