Kajian dedah diskriminasi kaum dalam sewaan rumah di Lembah Klang
Kajian dedah diskriminasi kaum dalam sewaan rumah di Lembah Klang
KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 peratus iklan sewaan yang dipaparkan secara digital menetapkan syarat kaum sebagai kelayakan asas menyewa rumah.
Badan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD) Malaysia, mendedahkan kajian mereka terhadap 35,367 penyenaraian bilik sewa Lembah Klang di platform sewa rumah dalam talian pada Februari 2026.
Ia mendapati 42.8 peratus iklan menolak sekurang-kurangnya satu kumpulan kaum, menjadikan diskriminasi sebagai pendirian tuan tanah yang paling biasa di platform tersebut.
Angka itu menunjukkan hampir satu daripada setiap dua iklan yang diterbitkan secara sengaja menafikan hak penyewa berdasarkan kepada warna kulit dan latar belakang etnik mereka, walaupun layak dari segi kewangan.
Antara data yang didedahkan adalah kedudukan warga India sebagai etnik yang paling banyak terpinggir dan terkesan dalam sistem ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Laporan itu menunjukkan penyewa berbangsa India menghadapi penolakan sebanyak 31.7 peratus daripada semua penyenaraian di Lembah Klang, berbanding 7.6 peratus untuk penyewa Melayu dan 3.9 peratus untuk penyewa Cina.
Menurut laporan berkenaan, sekatan akses ini berlaku secara meluas apabila pemilik hartanah meletakkan nota keutamaan seperti ‘Melayu saja’ atau ‘Cina saja’ dalam iklan mereka.
Kajian tersebut menunjukkan sebanyak 96.1 peratus penyenaraian dibuka kepada penyewa Cina dan 92.4 peratus kepada penyewa Melayu, manakala hanya 68.3 peratus menerima penyewa India.
Menurut data, corak diskriminasi yang ketara jelas kelihatan, kerana 21.3 peratus daripada semua penyenaraian menolak penyewa India tetapi menerima penyewa daripada bangsa atau kaum lain.
Kajian itu juga mendapati kadar diskriminasi berbeza-beza di seluruh Lembah Klang, dengan lima kawasan melebihi 50 peratus.
Antara kawasan tersebut ialah Ampang (57.5 peratus), Taman Desa (56.2 peratus), Klang (54.8 peratus), Setapak (51.1 peratus), dan Bangi (50.5 peratus).
Sebaliknya, kawasan yang lebih dekat dengan pusat bandar Kuala Lumpur menunjukkan kadar diskriminasi lebih rendah, dengan Pusat Bandar KL (31.3 peratus) dan Titiwangsa (25.7 peratus).
Laporan itu juga menunjukkan beban kewangan bagi penyewa India, kerana penyenaraian yang tidak mendiskriminasi mereka, secara purata adalah 11.2 peratus (RM735) lebih mahal berbanding penyewa yang tidak menerima penyewa berbangsa India (RM661).
Tindakan ini secara automatik menyekat peluang penduduk berbangsa India dan Punjabi daripada memohon, walaupun mereka mungkin mempunyai profil pekerjaan yang stabil dan rekod kewangan yang kukuh.
Pengarah eksekutif AOD, Encik Jason Wee, berkata pihaknya melihat kegagalan itu dalam dua aspek.
“Malaysia masih tiada undang-undang yang melarang diskriminasi kaum dalam pasaran sewa persendirian. Oleh itu, pemilik rumah boleh secara terbuka menolak penyewa berdasarkan kaum, dan penyewa yang didiskriminasi tidak mempunyai saluran perundangan untuk mendapatkan pembelaan.
“Ini perlu diubah. Apabila sesebuah platform mereka bentuk sistem yang membolehkan pemilik rumah menanda kotak untuk mengecualikan sesuatu kaum daripada melihat penyenaraian mereka, platform itu tidak neutral.
“Ia secara aktif membolehkan diskriminasi pada skala besar, dan ia harus dipertanggungjawabkan atas pilihan reka bentuk itu,” katanya.

