Topik diikuti
Pergi ke BHkuKajian: M’sia negara ketujuh paling dipercayai di dunia
Kajian: M’sia negara ketujuh paling dipercayai di dunia
Kajian: M’sia negara ketujuh paling dipercayai di dunia
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi utama negara apabila Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat kepada 71 mata pada 2026, menurut Laporan Edelman Trust Barometer 2026.
Ia lebih baik berbanding 66 mata pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ketujuh paling dipercayai daripada 28 negara yang dikaji.
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian itu, kajian terbaharu Edelman Trust Barometer 2026 mendedahkan kebimbangan terhadap peningkatan sikap tidak mempercayai golongan yang mempunyai perbezaan pandangan, latar belakang dan sumber maklumat.
Ketua Pegawai Eksekutif Edelman Malaysia dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Cik Mazuin Zin, berkata Malaysia berjaya membina kedudukan sebagai antara negara paling dipercayai di dunia.
Namun, cabaran seterusnya adalah memperluaskan kepercayaan itu merentasi kelompok masyarakat berbeza.
Beliau berkata kepercayaan yang wujud ketika ini lebih tertumpu dalam kelompok yang mempunyai nilai, sumber maklumat dan masyarakat yang sama.
“Malaysia tidak boleh terus menikmati tahap kepercayaan yang tinggi sekiranya jurang dalam masyarakat semakin ketara.
“Merapatkan jurang bukan sahaja penting daripada sudut sosial, tetapi juga penting dalam memastikan pertumbuhan negara dapat diteruskan.
“Komunikasi memainkan peranan penting dalam menyatukan semua pihak,” katanya pada majlis pelancaran Edelman Trust Barometer Malaysia 2026, di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian Malaysia pada 21 Mei.
Turut hadir ialah Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong.
Kajian itu turut menunjukkan 65 peratus rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan insular trust mindset, iaitu berasa ragu atau enggan mempercayai individu yang berbeza daripada mereka dari segi nilai, pandangan sosial atau latar budaya.
Selain itu, hanya 37 peratus rakyat Malaysia mendapatkan maklumat daripada sumber yang mempunyai pandangan politik berbeza sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Dari sudut ekonomi pula, kajian berkenaan mendapati hanya 39 peratus rakyat percaya generasi akan datang akan menikmati kehidupan lebih baik berbanding hari ini, merosot tujuh mata berbanding 2025.
Pada masa sama, 73 peratus rakyat Malaysia bimbang pihak asing sengaja menyebarkan maklumat palsu dalam media tempatan bagi mencetuskan perpecahan domestik, iaitu angka kedua tertinggi di dunia selepas Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu Datuk Yong berkata, kebimbangan yang semakin meningkat mengenai maklumat salah yang dipacu pihak luar serta penyebaran kepalsuan melalui platform digital mengancam kepercayaan awam terhadap landskap media di Malaysia.
Beliau berkata trend itu, sebahagiannya, berpunca daripada fenomena fear of missing out (Fomo atau takut ketinggalan), yang mendedahkan orang ramai kepada laporan tidak disahkan dan agenda tersembunyi dalam talian.
“Apabila orang ramai mempunyai telefon pintar yang canggih, mereka juga mempunyai sindrom Fomo ini dan membaca pelbagai laporan pelik yang meragukan, serta daripada individu yang mempunyai agenda tertentu, yang mendedahkan mereka kepada pelbagai perkara tidak boleh diterima akal,” katanya.
Justeru, Datuk Yong menggesa orang ramai supaya merujuk kepada sumber media arus perdana yang boleh dipercayai, dan pada masa yang sama, industri media Malaysia perlu terus meningkatkan keyakinan awam melalui standard kewartawanan yang lebih kukuh serta laporan lebih bertanggungjawab.
