Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Media M’sia kemuka bantahan pindaan akta sekat kebebasan bersuara

Sekumpulan gabungan karyawan media dan NGO tampil suarakan bantahan di bangunan Parlimen
Dec 5, 2024 | 3:43 PM
Aktivis media daripada pelbagai agensi berarak untuk menyampaikan memorandum membantah pindaan akta mesin cetak dan penerbitan 1984, serta akta-akta lain yang menyekat kebebasan bersuara kepada Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil,di Parlimen pada 4 Disember.
Aktivis media daripada pelbagai agensi berarak untuk menyampaikan memorandum membantah pindaan akta mesin cetak dan penerbitan 1984, serta akta-akta lain yang menyekat kebebasan bersuara kepada Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil,di Parlimen pada 4 Disember. - Foto BERNAMA

Dengan langkah berani mempertahankan kebebasan media dan kewartawanan di Malaysia, sekumpulan gabungan karyawan media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan bantahan berkaitan pindaan undang-undang terhadap media oleh kerajaan Madani.

Bantahan itu dizahirkan menerusi penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil, berkait cadangan pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 – yang dibimbangi akan menambahkan cabaran terhadap hak dan kebebasan media.

Seramai 50 ahli Sekretariat Fourth for the Fourth (404) membabitkan NGO besar media – Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Kesatuan Kebangsaan Kewartawanan Semenanjung Malaysia (NUJM) – tiba di bangunan Parlimen untuk menyampaikan memorandum itu.

“Media memainkan peranan penting dalam menegakkan demokrasi dengan memantau kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Media yang bebas adalah pengimbang kuasa yang membolehkan rakyat mendapat maklumat tepat, objektif dan tidak dipengaruhi tekanan politik atau kepentingan peribadi,” kata 404 dalam kenyataan.

Susulan itu, Datuk Anwar dalam hantaran di Facebook memberi jaminan kerajaan menerusi kementerian berkaitan akan meneliti setiap bantahan, kritikan dan cadangan yang dibangkitkan bagi menjamin suasana positif untuk industri media, di samping menjaga hak dan kebebasan media.

Desakan kumpulan media yang menuntut penjelasan tuntas daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai bentuk sekatan yang bakal dikenakan menerusi pindaan itu telah menyebabkan kementerian itu menangguhkan rancangan untuk membentangkan cadangan pindaan AMCP 1984.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penangguhan itu dibuat sementara menunggu libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Sebelum ini terdapat spekulasi menyatakan syarat dan hukuman bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan.

Beberapa gabungan kesatuan wartawan dan media menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana wadah dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal.

Pindaan terhadap AMCP 1984 juga dikatakan akan memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan hukuman yang lebih berat.

NUJM, CIJ dan GERAMM memandang serius perkhabaran itu kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada organisasi dan petugas media, serta terus mengancam kebebasan media di Malaysia.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada November 2022, Kerajaan Madani diketuai Datuk Anwar daripada Pakatan Harapan (PH) dilihat telah memungkari janji reformasi dan hak bersuara serta kebebasan media yang hebat diperjuangkan ketika menjadi pembangkang.

Kawalan kerajaan Madani terhadap industri media menerusi beberapa tindakan dan sekatan, dipercayai telah menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media oleh Reporters Without Borders (RFS) merudum daripada kedudukan 73 di dunia pada 2023 ke tangga 107 pada 2024.

Menurut analisis RSF, kerajaan Perpaduan mengenakan tekanan politik yang besar untuk menghalang media daripada menangani isu sensitif atau mengkritik ahli politik dan pegawai kerajaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg