Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia daki 19 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media RSF 2025

May 2, 2025 | 2:32 PM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Dalam laporan yang dikeluarkan, RSF menyatakan bahawa kebebasan media di Malaysia masih dibelenggu tekanan politik.

“Secara zahirnya, Malaysia kelihatan mempunyai landskap media yang pelbagai, namun media milik kerajaan – agensi berita Bernama dan penyiar Radio Televisyen Malaysia (RTM) – memainkan peranan sangat dominan.

“Banyak media arus perdana bersifat partisan secara terbuka dan bilik berita lazimnya mengikut garis panduan kerajaan semasa,” katanya, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, RSF menyatakan keadaan ini lebih baik dalam kalangan media digital, dengan Malaysiakini diberi contoh sebagai laman media yang mempunyai autonomi editorial.

pada 2024, Malaysia berada di kedudukan ke-107, merosot 34 anak tangga daripada tempat ke-73 pada tahun sebelumnya (2023).

RSF mengaitkan penurunan itu dengan kekerapan sekatan ke atas laman berita yang bersikap kritikal terhadap kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai tekanan politik terhadap media, RSF berkata ia menghalang media daripada membincangkan isu sensitif seperti 3R (kaum, agama dan institusi diraja) atau mengkritik kerajaan.

“Sebarang ulasan atau laporan yang dianggap kritikal terhadap institusi diraja boleh membawa kepada pendakwaan, menyebabkan amalan penapisan kendiri yang meluas dalam kalangan wartawan,” menurut laporan itu.

Turut dinyatakan ialah percanggahan antara Perlembagaan Persekutuan – yang menjamin kebebasan akhbar – dengan undang-undang drakonian seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memberikan kawalan ketat kepada kerajaan terhadap pelesenan media cetak, manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sering digunakan untuk menyekat apa yang dianggap pihak berkuasa sebagai ‘berita palsu’,” tambahnya.

Namun begitu, RSF menyebut terdapat beberapa perkembangan positif, termasuk langkah ke arah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat serta penubuhan majlis media.

Laporan itu juga menyebut bahawa wartawan Malaysia berisiko menjadi mangsa kes mahkamah dan kempen fitnah.

“Ancaman terkini terhadap kewartawanan termasuk pendakwaan yang melibatkan kos besar, serbuan polis ke ibu pejabat media, pelanggaran kerahsiaan sumber, dan pengusiran wartawan asing atau pembocor maklumat,” kata RSF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg