PUTRAJAYA: Kekurangan jurutera pesawat dan komponen mekanikal dikenal pasti telah menyebabkan gangguan penerbangan di Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini, kata Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Beliau berkata semakan audit oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendedahkan 63 daripada 411 kakitangan MAB Engineering Services (Perkhidmatan Kejuruteraan MAB) yang berkelayakan telah berhijrah keluar daripada syarikat itu sejak Januari 2024.
“CAAM mendapati peletakan jawatan ini mungkin disebabkan oleh tawaran gaji yang lebih menarik daripada syarikat penyelenggaraan atau penerbangan lain,” katanya, lapor New Straits Times (NST).
Beliau berkata penemuan itu berdasarkan siasatan mengejut CAAM di Malaysia Airlines (MAS) dan MAB Engineering Services dari 24 hingga 28 Jun.
Encik Loke menambah bahawa menyusuli permasalahan itu, MAB telah menyediakan pelan mitigasi, antaranya meningkatkan tahap keselamatan pesawat, mengambil tenaga kerja mahir secara agresif dan mendapatkan bekalan alat ganti enjin pesawat yang mencukupi daripada pengilang peralatan tulen (OEM).
“Untuk memastikan pematuhan dengan pelan mitigasi, MAB juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan mengenai status pelaksanaannya,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan penerbangan MAS menuju ke Madinah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 Ogos semasa terbang di atas Kepulauan Nicobar di Laut Andaman.
Pada 21 Ogos pula, penerbangan MAS terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana masalah tekanan kabin.
Pada 20 Ogos, penerbangan MAS dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Melbourne terpaksa membuat pendaratan cemas di Alice Springs di wilayah utara Australia.
Encik Loke turut menyatakan tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat penerbangan itu akan dikurangkan dari tiga tahun kepada hanya setahun, bermula 1 September dan berakhir 31 Ogos 2025, bagi membolehkan audit lebih kerap oleh CAAM.
Sebelum ini, MAS dan syarikat induknya, Malaysia Aviation Group (MAG), yang turut dianggotai Firefly, memohon maaf atas peningkatan kelewatan dan pembatalan penerbangan pada minggu lalu.
Pengarah Urusan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata faktor seperti cuaca, cabaran teknikal dan tenaga kerja manusia, kekangan rantaian bekalan serta normalisasi berterusan operasi penerbangan sejagat selepas pandemik telah menyumbang kepada gangguan penerbangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg