KUALA LUMPUR: Genap 10 tahun tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, mengorbankan 298 nyawa, sejarah hitam itu masih menghantui semua yang terlibat, termasuk ahli keluarga, pasukan penyiasat, syarikat penerbangan itu, malah dunia, yang turut melahirkan simpati.
Pesawat Boeing yang berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh peluru berpandu buatan Russia di ruang udara Ukraine, ketika pertempuran berlaku antara pemisah pro-Russia dengan tentera Ukraine, sebelum terhempas di wilayah Donetsk, timur negara itu.
Bagi Cik Sharom Ibrahim, 67 tahun, ibu seorang kru yang terkorban dalam tragedi itu, beliau masih mengumpul kekuatan dalam mengenang anak sulungnya itu, Allahyarham Nur Shazana Mohd Salleh.
Menurutnya, pada awal 2016, beliau menerima sebuah kotak daripada pihak berkuasa, dikatakan mengandungi bagasi dan pakaian milik anaknya itu.
Namun, hingga hari ini kotak berbalut kain itu kekal tersimpan, sama seperti hari pertama ia diterima.
“Aunty (mak cik) belum sanggup buka kotak yang dihantar dan lihat apa ada di dalamnya. Macam mana kotak itu diterima, begitulah juga bungkusan itu sekarang,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Cik Sharom tidak dapat menjalankan rutin menjaga pokok bunga kesayangannya di halaman rumah sepanjang tahun-tahun awal pemergian Allahyarhamha, kerana rumahnya terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan bunyi pesawat membuat beliau sedih.
Bagi Ketua Perunding The Dozen Person, Kolonel (Bersama) Mohd Sakri Hussin, yang mengetuai misi membawa pulang mayat mangsa nahas itu, banyak perkara menjadi pertimbangan tatkala menggalas tugas berat demi negara itu.
“Perkara paling memberi kesan buat saya ialah apabila perlu melihat kecederaan yang dialami mangsa.
“Pada mata saya semua itu adalah kekejaman manusia ke atas orang awam yang tidak sepatutnya menjadi sasaran keganasan.
“Ketika berunding dengan kumpulan pemisah, serangan tetap berlaku walaupun gencatan senjata sudah diisytihar.
“Kami dapat mendengar bunyi letupan semasa berbincang. Itu melanggar undang-undang dan persetujuan awal. Masa itu saya hanya pasrah sekiranya ada apa-apa perkara buruk berlaku,” katanya.
Kolonel Mohd Sakri mengetuai sekumpulan pasukan yang dihantar kerajaan Malaysia ke Ukraine untuk mendapatkan kotak hitam pesawat berkenaan.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, masih kuat mengingati debaran pasukannya menanti berita status keberadaan kotak hitam pesawat MH17 ketika dibawa keluar menaiki kereta api dari zon perang di wilayah Donestk.
“Akhirnya kotak hitam bersama mayat mangsa MH17 selamat diperoleh walaupun mendapat makluman ada pihak lain mahukan kotak hitam itu sama ada secara paksa atau sukarela.
“Ketangkasan pasukan Kolonel Mohd Sakri menghalang kotak hitam itu daripada terlepas kepada pihak lain dan akhirnya diserahkan kepada saya,” katanya, mengimbau kisah kotak hitam itu diterbangkan ke Farnborough, London, menggunakan pesawat khas dengan kawalan ketat pegawai keselamatan Malaysia dan Belanda untuk siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg