Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global akan diserah kepada ibu bapa

Oct 28, 2024 | 4:03 PM
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto BERNAMA

KANGAR (Perlis): Kanak-kanak yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam serbuan Op Global daripada premis penjagaan kanak-kanak milik GISB Holdings (GISBH), akan dikembalikan kepada ibu bapa dan penjaga sah mengikut arahan mahkamah.

Bagaimanapun, ia akan dilakukan selepas prosedur siasatan JKM dan serahan dokumentasi lengkap sebelum mahkamah memutuskan sedemikian.

Kanak-kanak terbabit tidak boleh diserahkan tanpa melalui prosedur mahkamah atas kebimbangan mereka mungkin diberi kepada individu salah dan bukan ibu bapa sebenar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata 54 daripada 560 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan sudah dikembalikan kepada ibu bapa dan penjaga sah atas arahan mahkamah setakat 27 Oktober.

“Sekarang ada 68 permohonan tuntutan terhadap kanak-kanak ini yang sedang menjalani proses siasatan dan dokumentasi sebelum mahkamah memutuskan arahan selanjutnya.

“Perlu difahami kanak-kanak yang diselamatkan ini bukan diambil dari tangan ibu bapa atau penjaga di rumah sendiri. Mereka diselamatkan di premis penjagaan yang mana ibu bapa dan penjaga tidak berada bersama.

“Dalam situasi ini, bagaimana kita nak menentukan yang datang menuntut itu benar-benar ibu bapa atau penjaganya. Itu sebabnya tindakan JKM bersandarkan lunas undang-undang yang diputuskan mahkamah,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak 2024 peringkat Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, di sini pada 28 Oktober.

Datuk Nancy berkata ada kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global tidak mengetahui identiti ibu bapa dan penjaga mereka kerana berada di pusat jagaan sejak kecil.

“Apabila ibu bapa menuntut, kita perlu jalankan siasatan dahulu. Bayangkan kalau kita serahkan kepada sesiapa sahaja dan selepas itu didapati salah, sudah tentu kesannya tidak baik.

“Ada kes ibu dan bapa berebut sambil mendakwa anak yang diselamatkan itu anak mereka. Mungkin betul tetapi tetap perlu menjalani prosedur untuk ditemu bual bagi siasatan pegawai JKM,” jelasnya.

Dalam serbuan menerusi Op Global pada 8 Oktober, polis telah menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun daripada rumah amal yang terkait GISBH dan telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg