Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat kanak-kanak Global Ikhwan mungkin diserap fahaman militan

Oct 14, 2024 | 2:40 PM
Tiga anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, pada 13 Oktober atas tuduhan melakukan serangan seksual dan pemerdagangan manusia. Tertuduh Mahmad Hamal Tukiman, 57 tahun (depan dua dari kanan; Muhammad Ansarullah Tukino, 20 tahun (depan dua dari kiri) dan Rabiahtul Adawiyah Md Shah, 31 tahun (belakang dua dari kanan) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tiga anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, pada 13 Oktober atas tuduhan melakukan serangan seksual dan pemerdagangan manusia. Tertuduh Mahmad Hamal Tukiman, 57 tahun (depan dua dari kanan; Muhammad Ansarullah Tukino, 20 tahun (depan dua dari kiri) dan Rabiahtul Adawiyah Md Shah, 31 tahun (belakang dua dari kanan) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Fasa baru siasatan kes ratusan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) menjurus kepada kemungkinan terdapat fahaman jihad militan cuba diserapkan kepada kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan dijalankan susulan terdapat dakwaan bahawa kanak-kanak di rumah amal dipertontonkan tayangan video berunsur militan.

“Walaupun sepanjang siasatan kes ini, saya tidak pernah menyentuh mengenai tayangan video militan kepada kanak-kanak itu, namun (siasatan) kita menjurus ke arah itu.

“Cumanya, kanak-kanak ini memang ada ditayangkan video berkaitan pemimpin mereka iaitu Abuya (Allahyarham Ashaari Muhammad) sepanjang berada di rumah amal terbabit,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, dilaporkan berkata fahaman jihad militan didedahkan dengan menonton video militan pada waktu lapang kanak-kanak berkenaan.

Menurutnya berdasarkan laporan diberikan polis video kumpulan militan seperti pengganas ISIS yang ada di YouTube akan ditayangkan kepada kanak-kanak terbabit.

Pada 8 Oktober, seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal yang terkait GISBH mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

GISBH terpalit kontroversi eksploitasi dan penderaan kanak-kanak sebagai pekerja selepas puluhan premis beroperasi sebagai pusat jagaan dan rumah amal dikaitkan dengan pertubuhan itu diserbu polis pada awal September.

Dalam serbuan menerusi Op Global itu polis telah menyelamatkan ratusan kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan puluhan individu termasuk pengendali premis berkenaan.

Setakat ini, Perlis, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan yang terbaru Melaka sudah mengeluarkan fatwa memutuskan bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Sementara itu, di Butterworth, Pulau Pinang, seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISBH didakwa di Mahkamah Sesyen pada 14 Oktober atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki, pada 2022.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh yang ketika itu seorang warden asrama didakwa melakukan serangan seksual fizikal dengan menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, di Nibong Tebal, Butterworth, pada 11 Julai 2022.

Pada 13 Oktober pula, tiga anggota GISBH, didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, atas kesalahan serangan seksual terhadap remaja dan pemerdagangan manusia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg