JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan yang menjadi mang­sa serangan sekumpulan anjing liar di Kampung Tambak, Batu Pahat, pada 5 September, dijangka menjalani pembedahan plastik di bahagian kepala dan muka dalam masa terdekat.

Mangsa, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi, dua tahun, kini masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, selepas mengalami kecederaan parah akibat serangan lima ekor anjing liar.

Menurut ibu saudaranya, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nur, 23 tahun, perkembangan terkini ke­adaan kanak-kanak itu dimaklumkan oleh ibu bapanya yang kini bersama Nur Haira di hospital.

“Itulah cara (melalui pembedahan plastik) yang ada untuk memulihkan kecederaannya memandang­kan rawatan atau pembedahan biasa tidak sesuai.

“Apa yang kami diberitahu, Nur Haira kini sudah mampu bernafas sendiri tanpa bantuan alat pernafasan. Dia juga sudah boleh membuka mata, cuma belum memberikan sebarang maklum balas,” katanya pada 14 September.

Menurutnya, keadaan Nur Haira kini bagaimanapun masih dipantau pasukan perubatan, termasuk diberikan ubat tahan sakit bagi memastikan keselesaannya, lapor Kosmo!.

“Kami sekeluarga berharap orang ramai terus mendoakan agar Nur Haira cepat sembuh dan dapat melalui pembedahan itu dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, anjing yang dipercayai terlibat dalam sera­ngan terhadap Nur Haira belum lagi berjaya ditangkap kesemuanya, apabila kumpulan anjing liar lain pula dikesan berkeliaran di sekitar kampung itu pada 14 September.

Kumpulan dianggarkan kira-kira 10 ekor itu dilihat berkejaran di kawasan kebun sawit di belakang rumah datuk Nur Haira kira-kira pukul 11 pagi, malah kelibatnya sempat dirakam penduduk sebelum menghilang di kawasan sekitar.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan penduduk kerana sebelum ini pihak berkuasa sudah menangkap tujuh ekor anjing termasuk lima anaknya, namun tiga lagi dipercayai masih berkeliaran.

“Anjing liar lain pula muncul dan ini mengundang masalah serta mengganggu ketenteraman penduduk. Kami tidak mahu kejadian yang menimpa anak saudara saya baru-baru ini berulang lagi,” kata Nur.

Tinjauan di lokasi pada 14 September pula mendapati pihak berkuasa turut memasang perangkap bagi memburu tiga lagi anjing yang dipercayai masih berkeliaran di sekitar kawasan rumah mangsa.

Dalam kejadian pada 7 pagi itu, Nur Haira ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya terkoyak dan pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan lima ekor anjing liar yang ganas.