KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan tuduhan mendakwa agensi itu melindungi sebuah kontena membawa muatan rokok, kerana ia milik kerabat diraja Perak
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata dakwaan itu merupakan tohmahan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan satu laporan polis sudah dibuat berhubung perkara terbabit.
Menurutnya, beliau sebagai Ketua Pengarah Kastam tidak mempunyai kuasa untuk mengecualikan atau melepaskan mana-mana pihak daripada membayar cukai kerana ianya di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.
“Isu tular di salah satu platform media sosial membabitkan sebuah kontena bernombor yang dikatakan membawa muatan dagangan rokok.
“Akaun media sosial terbabit mendakwa kontena terbabit dilepaskan atas arahan Ketua Pengarah Kastam yang melibatkan kerabat Diraja Perak,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, JKDM menafikan dakwaan terbabit dan berdasarkan rekod, kontena berkenaan membawa barangan yang sudah melalui proses kerja dan prosedur JKDM.
Katanya kontena berukuran 12.19 meter berkenaan berstatus full container load (FCL) dan berdasarkan Borang Kastam (BK1) diikrarkan sebagai 1,071 unit bagasi.
“Rekod imej mesin pengimbas dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap kontena mengesahkan bahawa maklumat barang dagangan di dalam penyataan dan Borang K1 adalah sama seperti yang diikrarkan iaitu beg bagasi.
“Justeru, JKDM berpuas hati bahawa ikrar yang dilakukan adalah mematuhi kehendak Seksyen 79 Akta Kastam 1967, pengimport juga membayar Cukai Jualan Import dan dagangan,” katanya.
JKDM sebelum ini terpalit beberapa kes salah laku dalam kalangan pegawainya termasuk sindiket ‘kontena terbang’ yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.
Pada Mei 2024, seramai 23 anggota dan pegawai Kastam didakwa di enam Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia, atas kesalahan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan penjualan arak serta rokok tanpa cukai.
Salah laku berkenaan menyebabkan Malaysia ketirisan berbilion ringgit hasil cukai negara akibat penyelewengan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg