SERDANG: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan risiko tinggi ketika memadam kebakaran besar di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, pada malam 23 Julai, menyusuli kewujudan kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis yang terbakar sehingga mencetuskan beberapa siri letupan pada peringkat awal kejadian.

Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila api marak dengan pantas akibat tiupan angin kuat, selain operasi pemadaman turut berdepan kekangan selepas lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Encik Ashrul Riezal Asbar, berkata seramai 68 pegawai dan anggota JBPM bersama 67 anggota Bomba Sukarela dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran yang dipercayai bermula kira-kira 10.50 malam.

Beliau berkata 15 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan bantuan 19 jentera terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

“Berdasarkan penilaian di lokasi, kita dimaklumkan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis berkenaan.

“Pada peringkat awal memang berlaku beberapa siri letupan, namun Alhamdulillah kita berjaya mengawalnya sekitar 1.20 pagi (24 Julai),” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Ashrul Riezal berkata operasi kini tertumpu kepada kerja pemeriksaan dan memadam sisa kebakaran.

Menurut beliau, pihaknya sedang menunggu bantuan jengkaut untuk membongkar sisa runtuhan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.20 pagi,” katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata projek pembangunan semula keseluruhan Pasar Borong Selangor dijangka bermula awal 2027, selepas isu berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum ini diselesaikan.

Beliau berkata reka bentuk serta pelaksanaan projek itu kini berada pada peringkat akhir sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Menurut Datuk Izham, perancangan membangunkan semula pasar borong berkenaan sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan tidak berkait dengan kebakaran yang berlaku pada tengah malam 23 Julai.

“Projek ini sebenarnya sudah dirancang agak lama, namun sebelum ini timbul sedikit isu dengan kontraktor yang dilantik,” katanya.