Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran saluran gas di Selangor: Polis sahkan ada aktiviti korek tanah

Apr 4, 2025 | 6:57 PM
Ledakan kuat saluran paip gas bawah tanah milik Petronas yang meletup dan terbakar di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, membentuk kawah sedalam kira-kira 10 meter.
Ledakan kuat saluran paip gas bawah tanah milik Petronas yang meletup dan terbakar di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, membentuk kawah sedalam kira-kira 10 meter. - Foto tular NSTP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat aktiviti mengorek tanah dilakukan berhampiran lokasi letupan dan kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada 30 Mac lalu, namun belum dapat memastikan sama ada ia punca insiden dahsyat itu pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter (m) daripada kawasan letupan.

“Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.

“Letupan itu mengakibatkan terbentuknya kawah besar di tapak kejadian dan mengubah struktur permukaan tanah,” katanya pada sidang media laporan awal siasatan kejadian pada 4 April di Subang Jaya, Selangor.

Sebelum ini, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mendedahkan siasatan awal kejadian mendakwa tiada aktiviti pembinaan dilakukan pada tarikh berlakunya insiden letupan. CIDB kemudian menarik balik kenyataan media itu.

Datuk Hussein berkata setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan insiden menggemparkan Malaysia itu.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti pemaju, kontraktor dan sub kontraktor serta pekerja terlibat yang menggunakan dua jentera iaitu jengkaut (excavator) dan jentolak (backhoe) untuk aktiviti pembinaan di kawasan kejadian.

Menurutnya, sebuah jengkaut turut terbenam ke dalam tanah akibat letupan itu dan kerja mengorek kawasan kawah untuk mengeluarkan jentera itu akan dilakukan pada 15 April.

Datuk Hussein menjelaskan siasatan turut merangkumi sama ada wujud unsur jenayah iaitu khianat atau kecuaian.

Beliau berkata PDRM juga mengesahkan Petronas memiliki sistem untuk mengesan sebarang kebocoran yang mungkin berlaku pada setiap saluran paip gas bawah tanah milik syarikat itu.

Katanya paip saluran gas meletup di Putra Heights itu dipercayai berusia 30 tahun yang dipasang pada 1991.

“Buat masa ini, Petronas tiada maklumat adanya kebocoran. Jadi, polis akan melihat data-data daripada stesen di Petronas yang buat kawalan aliran gas ini.

“Terdapat tiga paip gas asli yang membawa bahan berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.

“Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit,” katanya.

Justeru, Datuk Hussein berkata pasukan penyiasatan ketika ini sedang mendapatkan data daripada sistem berkenaan bagi menentusahkan sama ada terdapat kebocoran pada paip gas berusia terbabit.

Dalam kejadian mengejutkan kira-kira 8 pagi pada 1 April lalu, ratusan penduduk di kawasan penempatan berhampiran Jalan Harmoni, Putra Heights, menempuh detik menakutkan apabila berlaku letupan dan kebakaran sehingga menyebabkan bahang api mencecah 1,000 darjah Celsius.

Menyusuli kejadian, ratusan mangsa mengalami luka, lecur dan sesak nafas dan dirawat di hospital awam dan swasta. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg