KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol menyamun sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, pada 16 April, menyebabkan kerugian mencecah RM9.7 juta ($3.12 juta).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata dalam kejadian 11 pagi itu, empat lelaki telah memasuki premis berkenaan sebelum bertindak mengacukan dua pucuk pistol.

“Suspek kemudian melarikan 21 dulang emas dengan anggaran berat kira-kira 15 kilogram.

“Turut dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan ialah selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan premis terbabit,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Datuk Fadil berkata usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu saksi kejadian yang juga pekerja lelaki berhampiran premis kejadian berkata insiden itu berlaku terlalu pantas.

Menurut lelaki berusia 30-an tahun itu, kejadian berlaku ketika kedai baru sahaja dibuka dan kakitangan sedang menyusun barang di dalam premis.

Katanya, secara tiba-tiba empat lelaki tiba menaiki sebuah kereta dengan seorang kekal di dalam kenderaan, manakala tiga lagi masuk ke dalam kedai sebelum mengacukan pistol.

“Mereka terus masuk dan acukan pistol. Masa itu saya nampak depan mata. Orang awam yang lalu pun tak perasan apa jadi sebab semuanya terlalu cepat,” katanya.

Lelaki itu berkata, kumpulan terbabit kemudian bertindak mengumpulkan semua barang kemas sebelum melarikan diri dalam tempoh singkat.

“Lebih kurang lima minit sahaja mereka ambil semua barang kemas. Lepas itu terus lari naik kereta yang sedia menunggu,” katanya.

Katanya, ini adalah insiden kedua yang disaksikannya selepas sebelum ini beliau turut melihat tiga lelaki ditembak ketika makan di sebuah restoran di kawasan sama pada Jun 2025, yang mengakibatkan seorang maut manakala dua lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Penolong Pesuruhjaya Hoo Chang Hook, berkata pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek dipercayai milik kenderaan lain.

Menurut beliau, pihaknya juga sudah merakam keterangan pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asal untuk membantu siasatan lanjut.

“Setakat ini seramai 12 individu termasuk pengadu, pemilik kedai dan 10 pekerja dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya pada 17 April.

Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira tiga minit memaparkan sekumpulan penjenayah bersenjata pistol dan bertopi keledar melakukan samun di sebuah kedai emas.

Suspek turut menyerang seorang pengawal keselamatan sebelum melarikan sejumlah barangan berharga dalam tempoh beberapa minit.