Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kedengaran bunyi dentuman sangat kuat... pokok pun bergoyang’

Aug 30, 2025 | 5:30 AM
Penjawat awam, Encik Azman Alidin, 44 tahun, terkejut melihat kesan retakan di dalam rumahnya.
Penjawat awam, Encik Azman Alidin, 44 tahun, terkejut melihat kesan retakan di dalam rumahnya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Dentuman yang memecah kesunyian dinihari mengubah rutin biasa penduduk Kampung Bukit Siput dan sekitarnya pada 24 Ogos, apabila daerah Segamat, Johor, digoncang oleh gempa bumi, kejadian yang jarang sekali berlaku di negeri itu.

Bagi anak muda kampung itu, Encik Zahril Ajmal, 24 tahun, pagi berkenaan tidak sama seperti hari-hari lain. Beliau yang bekerja sendiri bangun lebih awal daripada kebiasaan untuk ke surau berhampiran rumahnya.

Encik Zahril Ajmal, 24 tahun.
Encik Zahril Ajmal, 24 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Biasanya saya bersiap 5.50 pagi, tetapi hari itu saya bangun sekitar 5 pagi. Sedang berjalan, tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman sangat kuat. Saya ingatkan hujan, tapi saya perasan pokok-pokok pun bergoyang,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Kekeliruan semakin dirasai apabila imam surau yang sedang memimpin solat turut terhenti membaca Al-Fatihah. Seusai solat, jemaah mula bertanya sesama sendiri, mencari jawapan kepada kejadian aneh itu.

“Hanya selepas melihat media sosial, kami sedar Segamat dilanda gempa bumi. Memang tak sangka, seumur hidup, ini pengalaman pertama,” katanya sambil memaklumkan bahawa amaran diketahui beberapa jam selepas kejadian.

Seorang penjawat awam di Bandar Putra, Encik Mohamad Zamir Zikri Hisham, 29 tahun, berkata gegaran itu terlalu singkat tetapi meninggalkan tanda tanya.

“Ketika solat subuh, saya dengar bunyi kuat. Saya sangka ribut kerana sejak kebelakangan ini Johor hujan di beberapa tempat. Tapi apabila periksa di luar, sunyi. Ibu yang di tingkat bawah suruh saya periksa sekitar rumah kerana risau kemalangan, tapi tidak ada apa-apa,” ceritanya.

Beliau menganggarkan gegaran yang dirasai kurang daripada tiga saat.

“Kami hanya tahu ia gempa selepas membaca berita. Rasa macam mustahil, sebab Johor tak pernah kena gempa,” kongsinya.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Encik Azman Alidin, 44 tahun, berkata gempa yang berlaku bukan sekadar bunyi; beliau yang baru pulang dari tempat kerja terkejut melihat kesan retak di rumah sewanya.

“Saya baru balik ke rumah ketika itu. Mula ingat guruh, tapi apabila masuk rumah, nampak ada rekahan besar di tengah-tengah ruang tamu dan di dinding dapur,” katanya.

Rumah yang disewanya sejak tahun lalu itu terletak berhampiran tempat kerjanya.

“Saya terus hubungi tuan rumah dan buat laporan polis. Mujur tuan rumah bersetuju membaiki kerosakan, tapi tetap risau sebab ini tempat kami tinggal,” katanya.

Bagi Cik Norjihan Selamat, 28 tahun, seorang suri rumah yang baru berpindah ke Kampung Tonjos empat bulan lalu, kejadian itu mengganggu rasa selamatnya.

Cik Norjihan Selamat, 28 tahun, menunjukkan kesan rekahan di setiap bucu rumahnya selepas kejadian gempa pada 24 Ogos.
Cik Norjihan Selamat, 28 tahun, menunjukkan kesan rekahan di setiap bucu rumahnya selepas kejadian gempa pada 24 Ogos. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Bunyi dentuman pagi itu sangat kuat, saya ingat ada kereta kemalangan. Tapi apabila keluar tengok, jalan sunyi. Balik rumah, baru perasan ada rekahan panjang di bucu rumah, dalam bilik pun ada,” katanya sambil menambah bahawa rumah tersebut baru didudukinya sempena Aidilfitri lalu bersama suami dan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Apabila gempa susulan berlaku pada pagi 27 Ogos, Cik Norjihan berada di tempat kerja tetapi dimaklumkan oleh jiran melalui kumpulan pesanan ringkas.

“Kali ini gegaran singkat, bunyi macam lori lalu atas jalan; apabila saya balik rumah, saya perasan rekahan yang ada sebelum ini nampak makin panjang. Memang risau,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Tonjos, Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, turut berkongsi rasa terkejut ketika gempa susulan pada 27 Ogos.

“Saya dan suami berehat di halaman apabila tiba-tiba atap bergegar. Ingatkan monyet jatuh, tapi suami kata mustahil sebab dinding pun rasa bergegar. Bila semak kumpulan jiran, semua kata dengar dentuman dan rasa gegaran,” kongsinya.

Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, menunjukkan serpihan rekahan di bahagian tingkap rumahnya.
Cik Mardhiah Irazha Akmal Wb Rahman, 41 tahun, menunjukkan serpihan rekahan di bahagian tingkap rumahnya. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bagi kejadian gempa kali pertama pada 24 Ogos pula, beliau menjelaskan ketika itu berada di Mersing menghadiri program kerajaan.

“Anak kami yang berusia 19 dan 21 tahun berada di rumah. Mereka telefon kami kerana dengar bunyi macam letupan dan nampak rumah bergegar. Kami balik segera dan nampak banyak rekahan di bucu rumah. Anggaran kos membaiki sekitar RM6,000 ($1,826),” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap, menegaskan walaupun magnitud gempa ini kecil, ia harus menjadi peringatan.

“Kita tak boleh pandang ringan. Ini amaran awal. Johor jarang alami kejadian sebegini, tetapi perubahan kerak bumi boleh berlaku. Penting untuk tingkatkan pendidikan, sistem amaran, dan latihan kesiapsiagaan,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan Johor berbincang dengan negara lain yang berpengalaman menangani gempa untuk meningkatkan tahap persediaan rakyat.

“Kita tidak mahu tunggu bencana besar baru mahu bertindak,” ujarnya.

Presiden Persatuan Kontraktor Utama Johor, Dr Kong Weng Keong, pula berkata industri binaan perlu mengambil perhatian akan kejadian ini.

“Kita mungkin tidak dapat menjadikan bangunan kalis bencana, tetapi boleh memperkukuh struktur untuk menahan gegaran. Perlu ada kod reka bentuk lebih ketat bagi bangunan akan datang,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia, Dr Azlan Adnan, gempa lemah itu tidak perlu menimbulkan panik tetapi harus dijadikan pengajaran.

Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia, Dr. Azlan Adnan.
Timbalan Presiden Persatuan Keluli Struktur Malaysia, Dr. Azlan Adnan. - Foto ihsan DR AZLAN ADNAN

“Selepas gempa sederhana, ada kemungkinan gegaran susulan. Di Kluang kita rekod magnitud 2.9. Biasanya kecil, tapi ini petanda kerak bumi masih lepaskan tekanan,” jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa Johor terletak di atas sesar (fault) lama yang mungkin aktif apabila tekanan dari sumber luar berlaku.

“Jenis batuan dan pembangunan juga mempengaruhi gegaran. Walaupun risiko kecil, pemeriksaan pada empangan, jambatan dan bangunan penting tetap perlu,” katanya sambil mengingatkan bahawa langkah keselamatan asas seperti mencari tempat perlindungan kukuh, menjauhi bangunan dan tiang, dan mengelak penggunaan lif.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa pertama bermagnitud 4.1 pada 24 Ogos diikuti gegaran 2.8 berhampiran Yong Peng.

Pada 27 Ogos, gegaran susulan bermagnitud 3.2 direkodkan di selatan Segamat, pada kedalaman 10 kilometer. Kesemua kejadian berpunca daripada Zon Sesar Mersing.

Walaupun gegaran dirasai hingga ke selatan Pahang dan beberapa daerah Johor, MetMalaysia menegaskan ia tidak membahayakan. Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran turut mengesahkan tiada kerosakan pada empangan dan infrastruktur utama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg