Spa gay di KL: Menteri akui wujud kelompangan perundangan, sukar dakwa individu ‘songsang’
Spa gay di KL: Menteri akui wujud kelompangan perundangan, sukar dakwa individu ‘songsang’
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mengakui wujud kelompangan perundangan khususnya di bawah peruntukan Kanun Keseksaan sehingga menyukarkan tindakan susulan diambil terhadap individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa gay di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada November 2025 lalu.
Memperincikan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, menjelaskan, kekecewaan untuk mendakwa semua individu terbabit turut dirasai pasukan polis, memandangkan jelas berlaku pelanggaran undang-undang.
“Kita sedar, memang ada kelompongan perundangan. Saya akui dan tak mahu ada sindrom penafian bagi menangani kegiatan tak bermoral sebegini.
“Apabila diberikan taklimat pasukan polis, mereka pun agak kecewa kerana terang-terang berlaku pelanggaran, tetapi ada juga kelompangan perundangan, dan di sinilah tempat kita memperkemaskannya.
“Maka, saya segera mengarahkan langkah proaktif untuk semak semula dan perkukuh kerangka perundangan sedia ada, segera.
“Ini tak perlu ada pertimbangan apa-apa, khususnya Kanun Keseksaan bagi memastikan kegiatan songsang seperti ini yang bertentangan dengan norma moral dan ketenteraman awam tak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul titah diraja bagi Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, pada 9 Februari.
Media pada November 2025, melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata seramai 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan dan spa yang dikatakan popular dalam kalangan lelaki gay di Chow Kit, telah dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.
Datuk Fadil berkata tanpa pengakuan mangsa, siasatan mengikut Seksyen 377 (persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.
Dalam serbuan itu, seramai 17 penjawat awam antara 208 individu termasuk warga asing yang ditahan. Ia turut membabitkan rampasan kondom serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.
Justeru Datuk Fadil turut menggesa pindaan undang-undang segera dilakukan dan jika tiada usaha ke arah itu diambil, maka menurutnya, segala tindakan membanteras jenayah sosial khususnya gejala songsang yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sia-sia.
Datuk Saifuddin berkata cadangan menyemak semula dan memperkukuh kerangka perundangan sedia ada sedang diperhalusi dan kemudian dikemukakan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
“Bagi peruntukan Kanun Keseksaan, ia memerlukan Menteri Undang-Undang yang bawa (ke Parlimen).
“Polis hanya kuatkuasakan saja. Jadi usaha penambahbaikan ini, kita akan laksanakan dengan teliti bagi mengimbangi keperluan ketenteraman awam, kedaulatan undang-undang serta prinsip keadilan,” katanya. – Agensi berita.

