Cik Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, menarik perhatian apabila menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada pagi 11 September, ketika perhatian tertumpu kepada keputusan permohonan pengampunan suaminya pada hari sama.

Penampilan Cik Rosmah disambut tepukan gemuruh perwakilan PAU 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kehadirannya.

Datuk Ahmad Zahid turut mendoakan supaya ada berita baik daripada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-63 yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, terhadap permohonan pengampunan Encik Najib, yang juga bekas Presiden Umno.

“Kita juga ada seorang tetamu istimewa, Datin Rosmah. Kita minta bangun supaya para perwakilan dapat memberikan penghargaan atas keberadaan.

“Mudah-mudahan ada berita paling baik pada hari ini, insyaAllah,” kata Datuk Ahmad Zahid ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan merasmikan PAU 2026 pada 11 September.

Bagaimanapun, mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dalam keputusannya, telah menangguhkan permohonan pengampunan Encik Najib ke satu mesyuarat yang akan diadakan kelak.

Penangguhan itu telah dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan sejurus mesyuarat berkenaan.

Encik Najib, 73 tahun, kini menjalani hukuman penjara selepas disabit bersalah atas pertuduhan menyeleweng RM42 juta ($13.07 juta) dana SRC International, sebuah syarikat yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).