Topik diikuti
Pergi ke BHkuPKR tuntut pemimpin Umno perjelas tuduhan PH pertikai kuasa Agong
PKR tuntut pemimpin Umno perjelas tuduhan PH pertikai kuasa Agong
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memperjelaskan kenyataannya yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Encik Danish Hairudin, berkata PH tidak pernah membuat kenyataan sebagaimana didakwa, sebaliknya hanya mempertahankan agenda membanteras isu rasuah, salah guna kuasa dan keperluan hukuman mahkamah serta kedaulatan undang-undang dilaksanakan sebaiknya.
Mantan Timbalan Pengarah Komunikasi PKR itu turut menasihati Datuk Asyraf Wajdi supaya tidak ‘tukar gelanggang’ apabila sudah tersepit.
“Saya baca kenyataan Asyraf Wajdi. Saya mahu tanya, ayat mana dalam kenyataan itu yang menyebut PH mempertikaikan kuasa pengampunan Agong?
“Jangan letakkan perkataan yang tidak pernah disebut PH. Kenyataan PH sangat jelas, kita menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menghormati institusi Agong.
“PH hanya bercakap mengenai rasuah, salah guna kuasa, hukuman mahkamah dan kedaulatan undang-undang. Ini pendirian terhadap rasuah, bukan serangan terhadap institusi raja.
“PH bercakap soal rasuah, Umno pula menjawab seolah-olah PH mempertikaikan raja,” katanya dalam kenyataan pada 9 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 8 September, Datuk Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, PH mula menyerlahkan ‘warna sebenar’ gabungan itu yang didakwa beberapa kali meremehkan dan mempertikai institusi Raja Melayu demi kepentingan politik.
Tindakan itu, katanya bertentangan prinsip dan syarat dipersetujui bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan, selain mengakui Umno kesal kenyataan Majlis Setiausaha PH, seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Agong.
Isu itu timbul ketika persoalan berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak kembali menjadi perhatian.
Majlis Setiausaha PH mengeluarkan kenyataan menegaskan pendirian gabungan itu mengenai hukuman terhadap pesalah rasuah serta prinsip kedaulatan undang-undang yang sewajarnya dijalankan mengikut hukuman yang telah diputuskan mahkamah.
Sementara itu, Encik Danish berkata PH tetap menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, selain tidak menafikan atau mempertikai kuasa pengampunan Agong.
“Menghormati kuasa pengampunan bukan bermaksud kita perlu diam mengenai rasuah. Umno sendiri menyatakan mereka tidak mahu mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan.
“Kalau begitu, biarkan proses berjalan mengikut Perlembagaan, tetapi jangan setiap kali berdepan persoalan mengenai rasuah dan integriti, institusi raja pula diheret untuk mengubah gelanggang perbahasan.
“Jangan jadikan istana sebagai perisai apabila rakyat bertanya mengenai rasuah. PH tidak mempertikaikan Raja, sebaliknya mempertahankan prinsip rasuah perlu dilawan dan kedaulatan undang-undang mesti dihormati,” katanya.
