Bufet Ramadan di hotel mencecah RM200 ($56.87), manakala harga seekor ayam golek di bazar pula naik sehingga RM29 daripada RM18-RM22 seekor sebelum ini.
Lonjakan perubahan harga makanan bermasak di bazar dan pakej-pakej bufet di hotel agak mengejutkan. Ternyata ‘kos’ untuk umat Islam di Malaysia berbelanja untuk berbuka puasa boleh dikatakan tinggi.
Penulis sendiri pernah berbuka puasa dengan pakej bufet di hotel pada 2022, namun harganya sekitar RM58. Pada 2024, atau dalam tempoh dua tahun, pakej bufet di hotel sama sudah naik kepada RM108 sekepala.
Benar, pengguna ada hak dan kuasa memilih sama ada mahu berjimat atau ‘melabur’ ratusan ringgit hanya untuk pengalaman berbuka di hotel, namun tidak dapat dinafikan harga barangan dan makanan sekarang semakin tinggi.
Namun, hakikat ini tidak hanya berlaku di Malaysia, malah di kebanyakan negara di dunia pun, didorong pelbagai faktor.
Pemerhatian Berita Minggu di laman sosial hotel di serata Malaysia yang mempromosikan bufet Ramadan mendapati kebanyakan hotel tiga bintang ke atas menawarkan harga pakej bufet ratusan ringgit, dengan kebanyakannya berharga RM150 ke atas.
Harga yang ditawarkan pula menunjukkan peningkatan sekitar 20 hingga 40 peratus, berbanding 2023. Walaupun harga bufet ditawarkan semakin tinggi, tempahan berbuka di hotel tetap mendapat sambutan ramai.
Usaha penulis menghubungi beberapa hotel di Lembah Klang yang menawarkan bufet Ramadan mendapati ada hotel yang sudah penuh ditempah untuk berbuka puasa.
Kebanyakan tempahan pula sudah dibuat lebih awal pada harga early bird, yang 10-15 peratus lebih rendah berbanding tempahan akhir.
Pihak hotel menyatakan, kebanyakan tempahan adalah daripada syarikat korporat, VIP dan agensi kerajaan.
Menurut mereka, tempahan bufet Ramadan daripada orang perseorangan masih ada, namun turun berbanding 2023, mungkin kerana faktor kenaikan harga pakej, selain Ramadan jatuh serentak dengan musim pembukaan penggal sekolah baru, menyebabkan ramai mengawal perbelanjaan.
Tinjauan penulis ke bazar pula mendapati rata-rata harga makanan dijual naik antara RM1 dengan RM5.
Sebagai contoh, kuih-muih yang lazimnya dibeli pada harga RM3 bagi 5 biji atau 60 sen sebiji, di bazar semasa Ramadan, harganya berubah kepada RM1 sebiji atau RM6 untuk 5 biji. Martabak pula daripada RM4 pada 2023, naik kepada RM6 hingga RM7.
Makanan seperti lauk-pauk pula dijual RM10 sesenduk kecuali lauk berasaskan sayuran, manakala air balang kebanyakannya antara RM5 dengan RM10 sebungkus; bihun sup RM8 sebungkus; dan roti john dari RM8 kepada RM11.
Peniaga kuih, Che Aminah Che Mansor, 45 tahun, berkata beliau terpaksa menaikkan harga jualan kuih kerana harga barangan mentah naik, selain perlu membayar sewa tapak bazar dan gaji pekerja yang juga meningkat.
Seorang rakan dari Singapura pernah berkata Ramadan di Malaysia seperti bulan festival makanan. Mewahnya makanan di Malaysia sehingga banyak juga berlaku pembaziran dan ini memang menyedihkan.
Berdasarkan perkongsian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dianggarkan sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di Malaysia sepanjang Ramadan pada 2023.
Menurut Presidennya, Encik Mohideen Abdul Kader, ia menunjukkan pembaziran makanan meningkat 15-20 peratus ketika Ramadan berbanding purata pada bulan lain.
Lantaran itu CAP menggesa orang ramai supaya tidak membazir makanan sepanjang Ramadan yang kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat umat Islam, tetapi bagi sesetengah orang ia menjadi bulan menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bendahari Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Cik Nur Asyikin Aminuddin, berkata daripada tinjauan rawak dilakukan pihaknya, berlaku perbezaan harga jualan barangan makanan antara 15-30 peratus di Bazar Ramadan di Lembah Klang.
Katanya, faktor harga bahan mentah yang meningkat, sewa tapak bazar yang agak tinggi, sewa premis, kos upah dan permintaan tinggi menjadikan harga jualan makanan di bazar semasa Ramadan meningkat, malah bufet di hotel juga melonjak.
“Justeru, kita sebagai pengguna perlu bijak membuat pilihan dan tidak terikut-ikut untuk membeli melebihi kemampuan. Sebagai contoh, berbuka puasa di hotel yang kosnya puluhan hingga ratusan ringgit adalah pilihan. Jika mampu silakan, namun jika sebaliknya, berpada-padalah berbelanja. Situasi kos sara hidup sekarang agak kritikal.
“Kebanyakan ibu bapa sudah banyak berbelanja untuk anak masuk sekolah. Habis Ramadan hendak sambut Raya pula dan pasti belanjanya bertambah. Justeru gunakan kuasa pengguna sebaiknya dan ukur baju di badan sendiri,” katanya.
Namun, rakyat Malaysia masih beruntung kerana kerajaan amat prihatin dan mengambil berat keluhan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dalam mendepani isu kos sara hidup yang kian meningkat.
Untuk itu kerajaan memperkenalkan Bazar Ramadan Rahmah di 64 lokasi seluruh Malaysia, yang menawarkan aneka menu pada harga rahmah iaitu serendah RM5 dan ke bawah, sekali gus meringankan perbelanjaan pengguna. Jadi rakyat masih punya pilihan lebih baik.
Beringatlah. Ketika kita bermewah dengan makanan, ada saudara kita yang kebuluran dan kesempitan. Bersederhana lebih baik, terutama semasa Ramadan. Selamat berpuasa!


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg